Bot pom-pom yang membawa 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia berjaya dipintas dan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kedudukan 6.8 nautika perairan Sungai Buloh, semalam. FOTO IHSAN PASUKAN POLIS MARIN (PPM)
Bot pom-pom yang membawa 22 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia berjaya dipintas dan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kedudukan 6.8 nautika perairan Sungai Buloh, semalam. FOTO IHSAN PASUKAN POLIS MARIN (PPM)
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Tidak sempat 'cabut lari' ke perairan Indonesia apabila bot pom-pom digunakan untuk menyeludup masuk 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) mengalami kerosakan enjin di tengah laut.

Kejadian berlaku ketika bot itu dikejar dua bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Sungai Buloh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, bot berkenaan terkandas akibat mengalami kebocoran dan kerosakan enjin sebelum berjaya dipintas polis.

Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, operasi dijalankan hasil maklumat mengenai bot yang menjalankan aktiviti penyeludupan migran melalui jalan tidak diwartakan.

"Bot pom-pom itu bertindak cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran kami.

"Kami kemudian mengejar bot itu dan berjaya memintasnya di kedudukan 6.8 batu nautika daripada perairan Sungai Buloh," katanya tadi,

Shamsol berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati semua pendatang asing berusia 20 hingga 53 tahun membabitkan 22 lelaki dan tiga wanita tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Selain itu katanya, pihaknya turut menahan tekong bot dan dua pembantunya bagi membantu siasatan.

"Semua Pati dibawa ke pangkalan Marin untuk urusan dokumentasi sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Hasil maklumat awal mendapati mereka dikenakan bayaran 4 juta Rupiah (RM 1,200) hingga 5 juta Rupiah (RM 1,500) untuk memasuki Malaysia. Duit itu dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 2:11 PM