Sindiket penyeludupan migran yang berjaya dipatahkan polis hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Sindiket penyeludupan migran yang berjaya dipatahkan polis hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


POLIS mematahkan sindiket penyeludupan migran dengan penahanan 23 individu termasuk tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai tekong dan awak-awak yang membawa masuk warga asing ke negara ini hasil serbuan di perairan Kuala Selangor hari ini.

Dalam serbuan jam 2.30 pagi itu, Bahagian Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang, Selangor menahan sebuah bot pom-pom dalam keadaan mencurigakan menghala ke kuala sungai Kuala Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D7C Bukit Aman Datuk Maszely Minhad berkata, pemeriksaan mendapati bot itu dipandu tekong bersama dua awak-awak warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 20 migran terdiri daripada 16 warga Myanmar membabitkan sembilan lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan enam wanita. “Selebihnya (empat individu) adalah warga Indonesia termasuk seorang wanita.

“Semua migran terbabit disyaki dalam perjalanan untuk diseludup ke negara ini,” katanya.

Maszely berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah dengan menyeludup migran ke negara ini melalui Jeti Asahan Tanjung Balai, Medan, Indonesia dan melakukan perjalanan dua hari dua malam sebelum tiba di Malaysia.

Katanya, hasil soal siasat terhadap tekong dan awak-awak mendapati mereka menerima bayaran tinggi untuk membawa migran terbabit.

“Mereka mengaku bekerja dengan ejen bernama John dengan gaji tekong lapan juta Rupiah (RM2,312) dan awak-awak pula diupah antara 500,000 Rupiah (RM114.50) hingga satu juta Rupiah (RM289).

“Migran Indonesia pula dikenakan bayaran satu juta Rupiah (RM289) setiap seorang untuk bayaran tambang manakala migran warga Myanmar tiga juta Rupiah (RM867).

“Siasatan mendapati warga Myanmar terbabit terdiri daripada etnik Rohingya yang sebelum ini tinggal di Kem Pelarian UNHCR di Aceh.

“Mereka melarikan diri dari kem kerana tiada pekerjaan dan menaiki kereta dari Aceh ke Tanjung Balai, Indonesia selama lima jam dan tinggal di rumah penampungan tiga ke empat hari sebelum menaiki bot ke Malaysia,” katanya. Beliau berkata, semua suspek dan migran terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1) ( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 5 (2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:25 PM