Pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan PPM.
Pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan PPM.
Ruwaida Md Zain


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 18 warga Indonesia ke negara asalnya menggunakan sebuah bot pom-pom dengan melalui laluan tidak sah di perairan Pintu Gedung dekat Pelabuhan Klang tengah malam tadi.

Komandernya, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot terbabit ditahan sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang dengan menggunakan bot ronda PSC 15 ketika menjalankan rondaan Op Pensura kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Bot terbabit didapati belayar menuju ke perairan antarabangsa dalam keadaan bergelap tanpa memasang sebarang lampu pengenalan.

“Bot ronda PSC 15 mengejar dan berjaya menahan bot terbabit yang dikemudi seorang lelaki serta dua kru yang berdiri di haluan bot,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosman berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot pom-pom yang didaftarkan dengan nama KM Intan itu membawa 14 lelaki dan empat wanita warga Indonesia yang ingin pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah.

“Siasatan lanjut mendapati 10 orang daripada mereka mempunyai pasport tetapi melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini, manakala lapan yang lain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot terbabit bersama juragan dan penumpang ditahan dan diiringi ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pin. 2002) serta Seksyen 26 ATIPSOM 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 11:39 PM