SEBAHAGIAN Pati warga Indonesia yang ditahan PPM Pelabuhan Klang kira-kira 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar, semalam. FOTO ihsan PPM
SEBAHAGIAN Pati warga Indonesia yang ditahan PPM Pelabuhan Klang kira-kira 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar, semalam. FOTO ihsan PPM
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Cubaan 79 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk secara haram dengan menaiki sebuah bot pom-pom gagal apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 4.8 batu nautika dari Kuala Sungai Besar, di sini, kelmarin.

Pada kejadian 10.30 malam itu, kesemua Pati warga Indonesia terbabit berusia 16 hingga 55 tahun yang dipercayai baru tiba di negara ini berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.

Turut ditahan, seorang tekong dan empat awak-awak warga negara sama untuk membantu siasatan.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, penahanan dibuat semasa pihaknya menjalankan tugas Op Gelora di sekitar perairan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menerima maklumat berhubung bot terbabit dan bergegas ke lokasi bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot pom-pom membawa seramai 79 warga Indonesia bersama seorang tekong dan empat awak-awak.

"Kesemua individu itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan masuk melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut," katanya menerusi kenyataan, semalam.

Shamsol berkata, siasatan awal mendapati semua Pati terbabit dikenakan bayaran tertentu untuk masuk ke Malaysia.

"Mereka dipercayai membayar sebanyak enam juta rupiah (RM1,800) kepada ejen di Indonesia.

"Siasatan lanjut mendapati tekong dan ejen terbabit aktif menguruskan migran keluar dan masuk ke negara ini sejak sebulan lalu," katanya.

Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 10:33 AM