Peah Chin (duduk tengah) bersama Michael (duduk kanan) menunjukkan laporan polis dibuat mangsa sindiket penipuan jual beli motosikal di laman sesawang jual beli dalam talian di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Peah Chin (duduk tengah) bersama Michael (duduk kanan) menunjukkan laporan polis dibuat mangsa sindiket penipuan jual beli motosikal di laman sesawang jual beli dalam talian di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Kad pengenalan memaparkan wajah tetapi nama berlainan yang digunakan sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa jual beli motosikal dalam talian. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Kad pengenalan memaparkan wajah tetapi nama berlainan yang digunakan sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa jual beli motosikal dalam talian. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 20 individu dipercayai terpedaya dengan sindiket penipuan jual beli motosikal yang diiklankan melalui laman sesawang jual beli dalam talian.

Malah, sindiket itu yang dipercayai aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak tahun lalu menggunakan identiti sebuah kedai motosikal di Bandar Baru Sri Damansara, Petaling Jaya untuk menjerat mangsa.

Menurut pemilik kedai motosikal berkenaan, Seng Peah Chin, 51, dia mengetahui identiti kedainya digunakan sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memaklumkan mereka ditipu mengenai jual beli motosikal.

Katanya, panggilan telefon pertama diterimanya pada Ogos tahun lalu daripada seorang individu yang memaklumkan dia membeli sebuah motosikal dari kedai miliknya.

“Saya menerima lebih 20 panggilan telefon sejak Ogos lalu sehingga semalam selain ada individu datang sendiri ke kedai untuk menuntut motosikal yang kononnya dibeli dari kedai kami.

“Saya amat terkejut dengan dakwaan itu kerana kami tidak pernah membuat iklan menjual motosikal di laman sesawang berkenaan sejak mengusahakan perniagaan ini sejak 20 tahun lalu,” katanya ketika sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Peah Chin berkata, berdasarkan maklumat diperolehi daripada mangsa, mereka diminta memasukkan sejumlah wang bagi membeli motosikal ke akaun seorang lelaki tempatan yang kononnya pemilik kedai motosikal berkenaan.

“Sindiket itu memuat naik iklan di laman sesawang berkenaan kononnya menjual motosikal terpakai dengan harga sangat murah.

“Segala urusan jual beli itu dilakukan melalui mesej di media sosial sebelum mangsa diarahkan membuat pembayaran di akaun berkenaan.

“Hasil semakan maklumat diperolehi daripada mangsa, sindiket itu menggunakan nombor kad pengenalan dan alamat sama yang tertera pada dokumen terbabit bagi dua identiti individu berbeza yang didedahkan kepada mangsa sebagai jaminan,” katanya.

Menurutnya, dia membuat empat laporan polis berhubung penipuan itu bagi mengelakkan mangsa salah faham selain menjaga reputasi kedai motosikalnya yang dianggap dijadikan sebagai ‘modal’ bagi sindiket berkenaan memperdayakan orang ramai.

“Malah, saya turut pergi ke pejabat pengurusan laman sesawang jual beli atas talian itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan, namun sehingga kini saya difahamkan sindiket itu masih aktif melakukan penipuan menggunakan nama kedai motosikal saya untuk menipu mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam melakukan urus niaga secara dalam talian.

“Sebelum membuat pembayaran, orang ramai perlu menyelidik terlebih dulu latar belakang penjual bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Lebih baik jika urus niaga dilakukan secara bersemuka bagi membolehkan kita kenal rupa serta fizikal sebenar penjual berkenaan.

“Pada masa sama, laman sesawang jual beli perlu memantau sebarang iklan dimuat naik terutama selepas aduan dibuat terhadap pihak berkenaan dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dengan menyekat iklan terbabit daripada disiarkan di laman berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:51 PM