Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seramai 22 individu ditahan susulan kejayaan Polis Johor membongkar sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan tidak wujud sebagai ejen sebuah syarikat e-dagang terkenal dalam serbuan di Kota Tinggi dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar berikutan serbuan di empat kediaman berpagar dan berpengawal bermula jam 4 petang sehingga 11 malam Isnin lalu, hasil intipan yang dilakukan.

Katanya, semua suspek berusia 15 hingga 26 tahun termasuk ketua itu mengendalikan pusat panggilan dengan menyamar sebagai pekerja aplikasi e-dagang terkenal.

"Hasil siasatan mendapati sindiket bertindak mengikut arahan ibu pejabat di lokasi lain yang akan membuat hebahan melalui laman sosial sebelum menghantar mesej kononnya mahu merekrut ejen e-dagang terkenal termasuk melalui aplikasi WhatsApp dan Wechat.

"Mesej palsu itu akan dihantar kepada mangsa secara rawak dengan menjanjikan pekerjaan sambilan sebagai ejen e-dagang dengan imbuhan menarik yang disertakan nombor telefon ke pusat panggilan e-dagang palsu berkenaan.

"Mangsa yang berminat diarahkan menghubungi nombor telefon berkenaan. Mangsa yang terpedaya kemudiannya akan ditawarkan menjadi ejen menjual barangan diiklan syarikat e-dagang sekali gus mendapat komisen lapan peratus manakala ejen VIP pula komisen 15 peratus.

"Pekerja pusat panggilan kemudian akan mengarahkan mangsa membuat pembayaran berdasarkan nilai produk sebagai syarat menjadi ejen sambilan ke akaun keldai yang dikawal sindiket dan mangsa dijanjikan akan menerima semula wang mereka berserta komisen bernilai lapan atau 15 peratus dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan modus operandi berkaitan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan sebagai ejen jual beli atas talian terkemuka. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan modus operandi berkaitan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan sebagai ejen jual beli atas talian terkemuka. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, bagi meyakinkan mangsa yang sindiket berkenaan kononnya menjual barangan dari syarikat e-dagang terkenal, pekerja pusat panggilan akan memberi pautan kepada produk yang dibayar mangsa.

Katanya, mangsa yang terpengaruh dengan komisen menarik ditawarkan akan mengikut arahan ahli sindiket tanpa menyedari ia hanyalah penipuan semata-mara.

"Segala komunikasi antara sindiket dan mangsa adalah menerusi WhatsApp dan WeChat sahaja.

"Ahli sindiket yang ditahan ini dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan sering bertukar-tukar lokasi operasi dan pekerja supaya sukar dikesan pihak berkuasa malah sindiket berkenaan turut mensasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Singapura selain rakyat tempatan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas 48 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 12 unit komputer riba, dua buku latihan dan dua unit modem.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis Johor menasihatkan orang ramai dan masyarakat agar sentiasa peka dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran secara atas talian yang menawarkan pulangan mudah dalam tempoh masa segera.

"Pastikan setiap maklumat yang diterima disemak terlebih dahulu dan jika membabitkan nombor telefon dan akaun bank, buat semakan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi mengetahui sama ada terbabit dengan kes jenayah komersil atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:11 PM