GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tertarik dengan nombor 'cantik' kononnya diiklankan sebuah syarikat telekomunikasi menyebabkan seorang lelaki ditipu sindiket penjualan nombor telefon tidak wujud.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 30-an berhubung kejadian itu, baru-baru ini.

"Mangsa memaklumkan dia melihat iklan yang menjual nombor telefon 010-9899999 didakwa ditawarkan sebuah syarikat telekomunikasi menerusi laman sosial Facebook.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak yang menjual nombor berkenaan sebelum bersetuju dengan harga ditawarkan dan terus membuat pembayaran.

"Bagaimanapun, pihak penjual berkenaan kemudian menghilangkan diri dan mangsa tidak menerima nombor telefon yang dibeli berkenaan," katanya tadi.

Mohd Kamarudin berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 3,514 kes dicatatkan berkaitan penipuan e-dagang pada 2019.

"Jumlah kes itu meningkat kepada 5,847 kes pada tahun lalu. Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 2,132 kes direkodkan," katanya.

Beliau berkata, penjualan barangan secara dalam talian atau e-dagang menjadi satu norma baru dalam masyarakat hari ini.

"Pilihan yang pelbagai selain akses mudah tanpa mengira masa menjadikan platform berkenaan menjadi pilihan ramai pengguna.

"Namun, platform ini juga dimanipulasi oleh penjenayah siber untuk menipu orang ramai dengan penjualan barangan tidak wujud," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam transaksi jual beli dalam talian dengan sentiasa membuat semakan ketulenan transaksi.

"Jangan mudah percaya dengan tawaran jualan barangan murah daripada pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

"Pastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 4:25 PM