ANTARA paparan iklan jualan emas gadaian yang ditawarkan sindiket scammer melalui aplikasi Telegram.
ANTARA paparan iklan jualan emas gadaian yang ditawarkan sindiket scammer melalui aplikasi Telegram.
Mohd Jamilul Anbia Md DeninRaja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan dan Mohd Amin Jalil


Kuala Lumpur: Berselindung di sebalik 'urus niaga pajak gadai Islam' dengan menawarkan lelongan barang kemas 'hantu' pada harga murah berbanding nilai semasa pasaran.

Itu taktik ampuh digunakan kumpulan scammer media sosial yang berkeliaran memburu mangsa terutama melalui paparan di laman media sosial Telegram.

Berdasarkan penyamaran dilakukan wartawan Harian Metro, sindiket scammer cuba memerangkap mangsa melalui tawaran pelbagai barang kemas emas 916 yang didakwa dipajak gadai oleh pemilik asal.

Sindiket mendakwa kononnya pemilik barang kemas itu gagal menebus barang kemas itu dalam tempoh sembilan bulan selain gagal dihubungi menyebabkan ia dilelong.

Suspek turut bertindak memuat naik beratus gambar barang kemas membabitkan rantai tangan, rantai leher dan cincin untuk menyakinkan mangsa.

Bagi menjerat mangsa, sindiket turut mengeksploitasi nama kedai emas terkemuka tempatan bagi menyakinkan mangsa untuk melakukan urus niaga.

Selain itu, bagi menampakkan urus niaga itu realistik, penjenayah sengaja menyelitkan berpuluh testimoni palsu dari pembeli yang kononnya sudah memperoleh barang kemas ditempah.

Wartawan yang menyamar sebagai pembeli mendapati sindiket berupaya memasukkan sesiapa sahaja pengguna aplikasi Telegram sebagai ahli di dalam kumpulan diwujudkan itu.

Penjenayah yang tidak memberikan data lengkap berhubung nama, lokasi premis dan nombor telefon untuk dihubungi sebaliknya hanya memaparkan pautan khas bagi sesiapa yang berminat untuk membeli emas.

Wartawan Harian Metro kemudian berpura-pura berminat dan bertanyakan harga rantai emas dipamerkan di dalam kumpulan Telegram itu.

Wartawan: Berapa harga diskaun bagi rantai emas berharga RM5,200. Boleh COD (bayar ketika penyerahan) atau bayar di kedai tuan?

Scammer: Kalau beli 2 item (barang kemas) ada low prices (tawaran harga)

Wartawan: Macam mana kaedah bayaran dan berapa hari 'barang' boleh diperoleh?

Scammer: Kedai emas kini tutup dan buka semula November. Sekarang hanya terima order (tempahan). Bank in (pindahkan) duit dan kita akan hantar postage (kiriman) barang kemas ke alamat rumah.

Wartawan: Boleh terangkan kaedah traksaksi wang?

Scammer: Isi dahulu borang pesanan. Beri nama penuh, alamat, poskod, nombor telefon dan jenis item. Bila sudah buat pembayaran, sila hantar bukti bayaran kepada admin untuk proses seterusnya. Barang kemas akan dihantar terus menggunakan khidmat kurier.

Scammer terbabit kemudian menyerahkan nombor akaun bank tempatan milik seorang lelaki disyaki 'keldai akaun' bagi membolehkan wartawan membuat transaksi wang diminta.

Namun wartawan sengaja bertanyakan soalan tambahan adakah proses penghantaran barang kemas menggunakan khidmat kurier selamat selain jaminan boleh diberikan.

Malah wartawan sengaja mempersoalkan ketulenan emas yang dijual selain mahu urusan jual beli emas berkenaan dilakukan secara bersemuka.

Seperti dijangka, scammer terbabit sengaja berdolak dalih dan mendakwa pihaknya pernah menguruskan penghantaran emas bernilai RM20,000 melalui kurier dan ia selamat sampai ke tangan pembeli.

Namun selepas diasak berulang kali, scammer terbabit bertindak membuang wartawan dari kumpulan Telegram berkenaan selepas mungkin mengesyaki sesuatu mencurigakan.

HALIZA menunjukkan laman jual beli emas gadaian yang menipunya.
HALIZA menunjukkan laman jual beli emas gadaian yang menipunya.

Guna ayat manis perdaya mangsa

Kuala Lumpur: "Saya yakin beratus atau mungkin beribu mangsa 'dibodohkan' sindiket penjualan emas melalui aplikasi Telegram. Ayat-ayat manis diselitkan unsur agama menyebabkan ramai mudah diperdaya," ujar salah seorang mangsa penipuan jual beli emas Telegram, Haliza Ariffin, 46, yang kerugian RM2,000.

Menurutnya, dia terjebak dengan penipuan itu selepas dimasukkan secara automatik ke dalam kumpulan Telegram menggunakan nama syarikat emas tempatan terkemuka awal Julai lalu.

"Terdapat paparan pelbagai jenis barang kemas yang didakwa mahu dilelong pada harga jauh lebih rendah dari pasaran. Selepas puas membelek gambar dan video dikongsi di laman Telegram itu, saya bertindak menghubungi admin kumpulan Telegram itu untuk tawar menawar harga rantai emas 916 berkenaan.

"Selepas bersetuju dengan harga ditetapkan bagi rantai emas seberat 20 gram itu, saya kemudian melakukan transaksi pembayaran berjumlah RM2,000 ke akaun bank tempatan atas nama seorang lelaki.

"Dia berjanji rantai emas berkenaan akan dihantar menggunakan khidmat kurier dalam tempoh dua hari. Namun harapan berkecai apabila semua itu hanyalah janji palsu.

"Ketika itu barulah terfikir, betapa bodohnya saya percaya terhadap urus niaga itu tanpa langsung mengesyaki ia adalah penipuan terancang," katanya.

Sindiket tawar harga tak masuk akal

Kuala Pilah: "Sindiket scammer akan sengaja mencetuskan perasaan tamak kepada pembeli dengan menjual emas pada harga tidak masuk akal. Contohnya emas 916 seberat 100 gram dijual pada harga RM1,000 walaupun nilai pasarannya lebih RM20,000," ujar pemilik Kedai Emas Nur Jannah, Ahmad Fairuz Kurcheri@Huzairi, 44.

Beliau berkata, sindiket penipuan dalam media sosial akan menghantar pesanan WhatsApp kepada orang ramai kononnya kedai emas miliknya menawarkan barang kemas murah.

Menurutnya, pelanggan yang kurang usul periksa akan terus membuat pembayaran kepada scammer melalui pemindahan wang dalam talian.

"Namun mangsa akhirnya menyedari mereka ditipu. Keadaan diburukkan apabila orang ramai berlumba-lumba untuk membeli emas berikutan kejatuhan harga emas sejak beberapa bulan lalu.

"Trend dan keghairahan orang ramai untuk membeli barang kemas ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

" Mereka yang sering menjadi mangsa kepada kegiatan scammer ini adalah yang membeli melalui dalam talian selain tidak kurang juga yang berselindung menggunakan nama kedai emas tertentu.

"Kegiatan penipuan scammer ini ternyata memberi kesan kepada pengusaha kedai emas tempatan. Ia menyebabkan reputasi dan nama baik kedai emas kami tercemar," katanya.

Pilih Telegram bagi elak dikesan

Kuala Lumpur: Pengguna perlu berwaspada dengan kewujudan sindiket pelaburan emas yang berkeliaran memburu mangsa terutama melalui laman sosial Telegram.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, sindiket penipuan memilih untuk menggunakan aplikasi Telegram berikutan aplikasi itu memaparkan identiti pengguna (ID) tanpa nombor telefon.

Katanya, keadaan ini memudahkan suspek berikutan mereka sukar dikesan tanpa nombor telefon manakala ID Telegram itu boleh diubah daripada semasa ke semasa.

"Telegram ini tidak seperti WhatsApp iaitu memerlukan nombor telefon yang terpapar.

"Aplikasi Telegram ini hanya memerlukan nombor telefon untuk tujuan pendaftaran serta penghantaran nombor kod keselamatan saja. Manakala untuk paparan, ia hanya menggunakan ID yang bersifat pelbagai sekali gus menyukarkan pengesanan," katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyatakan bahawa sindiket juga gemar menawarkan pulangan pelaburan 'bulan bintang' untuk mengabui mata bakal pelabur.

"Namun hakikatnya ia satu skim pelaburan penipuan yang tidak wujud. Ini bukan perkara baru malah setiap kali kami berdepan dengan aduan daripada orang ramai, taktik pulangan pelaburan berlipat kali ganda ini adalah taktik paling popular.

"Bagaimanapun, masih ramai orang awam yang terjerat dengan penipuan seumpama itu walaupun pelbagai peringatan sudah diberikan," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 12:00 PM