Kumpulan  aktif di IG buat promosi ‘tawaran istimewa’ guna testimoni palsu untuk tipu mangsa.
Kumpulan aktif di IG buat promosi ‘tawaran istimewa’ guna testimoni palsu untuk tipu mangsa.
Oleh Mahaizura Abd Malik dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Menawarkan harga emas jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa kononnya bagi menebus nilai gadaian yang tidak dilangsaikan penggadai dalam tempoh setahun.

Itu taktik digunakan sindiket penipuan lelong barangan kemas pajak gadai pada harga tidak masuk akal bagi meyakinkan dan memperdaya orang ramai.

Difahamkan, kumpulan berkenaan aktif menerusi platform Instagram (IG) dalam mempromosikan 'tawaran istimewa' mereka dengan menggunakan testimoni pelanggan, gambar produk serta alamat kedai emas mahupun pajak gadai sebenar di negara ini.

Menerusi semakan Harian Metro baru-baru ini, terdapat puluhan akaun yang dikesan wujud menggunakan taktik sama di laman sosial IG dan dilihat semakin aktif menggula-gulakan puluhan ribu pengikut mereka, sejak dua bulan lalu.

Untuk mendapatkan gambaran sebenar dan modus operandi mereka, wartawan berkomunikasi dengan beberapa pemilik akaun berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.

Penulis mendekati pemilik akaun pertama yang menggunakan sebuah kedai pajak gadai di Georgetown, Pulau Pinang yang pada mulanya ramah melayani penulis yang kononnya berminat membeli gelang diiklankan di bawah harga RM3,000.

Individu berkenaan meminta penulis memilih barangan diminati di IG mereka sebelum memberi penerangan harga tebus barang yang perlu dibayar termasuk dengan caj kadar bunga yang dikenakan kepada penggadai (pemilik asal barangan kemas).

Dia turut berkongsikan peta lokasi 'premisnya' apabila penulis bertanya sama ada urusan pembayaran boleh dilakukan di premis selain memaklumkan pembayaran perlu dibuat secara dalam talian sebelum 'barang' dipos.

Penulis bertanya mengenai jaminan urusan pembelian secara dalam talian dan penghantaran pos namun individu yang menggunakan gaya bahasa bukan penduduk tempatan itu seolah-olah tidak selesa sambil mendakwa barangan dihantar mereka dijamin sampai ke tangan pelanggan.

Selanjutnya, penulis cuba memancing pula pemilik akaun kedua yang mendakwa menawarkan khidmat pajak gadai atas nama sebuah kedai emas di Kajang, Selangor.

Selepas penulis menunjukkan gambar gelang yang ditangkap layar menerusi IG, individu itu meletakkan harga emas 916 seberat 55.67 gram itu pada harga tidak masuk akal iaitu RM2,783.

Penulis bertanyakan pula saluran pembayaran sebelum individu itu meminta transaksi perlu dibuat ke akaun pemilik kedai namun sampai di akhir perbualan kami, nombor akaun bank masih tidak diberi, malah penulis diminta pula melihat sendiri IG mereka bagi mendapatkan alamat penuh kedai.

Sementara itu, pemilik akaun ketiga menggunakan alamat premis di Pelabuhan Klang, Selangor pula mendakwa mereka menawarkan harga murah kerana ia barang lelong dan harga ditetapkan berdasarkan kos gadaian diterima pemilik asal barangan kemas berkenaan.

Ditanya sama ada urusan pembelian boleh dilakukan di kedai, individu itu berkata, pihaknya hanya menerima urusan pembelian secara dalam talian saja.

MPBA sudah terima enam aduan mangsa

Barang gadaian di premis pajak gadai tidak boleh dijual di pasaran runcit mahupun kepada individu.

Presiden Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia (MPBA) Tan Ho Keng berkata, hanya barangan gadaian mencapai tempoh matang pembayaran dan tidak dituntut pelanggan saja boleh dilelong.

Bagaimanapun, katanya, acara lelongan berkenaan hanya sah dilakukan kepada pelelong mahupun syarikat berlesen saja.

"Mengikut akta, selepas enam bulan penggadai tidak bayar untuk tuntut barangan kemas mereka, kita berhak melelong barang itu kepada pelelong atau syarikat berlesen.

"Saya percaya pasti aktiviti (lelong barang kemas dipajak gadai) ini satu penipuan bukan dari pengusaha sebenar mahupun pemain industri ini.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan jangan percaya dan berwaspada dengan penipuan ini kerana premis pajak gadai memang tidak akan jual barangan gadaian secara runcit atau kepada individu seperti dilakukan kumpulan ini," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, pihaknya menerima lebih enam aduan sejak minggu lalu berkaitan aktiviti penipuan di laman sosial Instagram yang aktif mempromosikan barangan kemas yang dipajak gadai pada harga tidak masuk akal.

"Kita terima aduan daripada ahli persatuan memaklumkan alamat dan gambar premis mereka digunakan kumpulan ini untuk memperdaya mangsa.

"Ada pelanggan sangat teliti dan bernasib baik apabila mereka datang dulu tinjau barang di premis berkenaan sebelum mengetahui rupanya mereka nyaris menjadi mangsa.

"Namun, bagi mereka yang sudah terpedaya kerana dikaburi dengan tawaran harga murah pula kita nasihatkan supaya membuat laporan polis," katanya.

Tan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk menyekat laman akaun media sosial kumpulan ini yang masih lagi aktif menjerat mangsa baharu.

"Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih tegas kerana kumpulan ini bukan saja mengelirukan orang awam, malah menyusahkan pengusaha dan pemain industri ini," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Wang hangus, barang kemas tak dapat

Barangan kemas yang diidamkan tidak dapat, wang pula hangus begitu saja.

Itu nasib malang menimpa seorang suri rumah, Rina, 46, apabila mendakwa kerugian lebih RM1,500 selepas terpedaya dengan aktiviti penipuan lelongan barangan kemas dalam talian.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia tertarik membuat pembelian barangan kemas ditawarkan sebuah akaun Instagram (IG) menggunakan nama kedai pajak gadai di Selangor pada pertengahan bulan lalu.

"Saya ternampak iklan barangan kemas lelong dalam IG berkenaan sebelum tertarik dengan gelang emas seberat 12.5 gram dijual pada harga RM1,500.

"Justeru, saya menghantar mesej untuk bertanya lebih lanjut mengenai tawaran itu ke nombor WhatsApp yang tertera sebelum diminta mengisi butiran nama, alamat, nombor telefon dan jenis item diminati.

"Selepas itu, saya diminta membuat pembayaran segera untuk lock gelang berkenaan dan dijanjikan barang kemas terbabit akan dipos dalam tempoh tiga hari," katanya.

Namun, selepas pembayaran dibuat, individu terbabit tidak membalas semua mesej Rina serta menyekat nombornya.

"Saya sudah mula rasa tidak sedap hati dan curiga lalu mencari maklumat kedai pajak gadai itu sebelum berjaya menghubungi pemilik sebenar.

"Pemilik kedai sebenar memaklumkan pihaknya tidak menjual barangan kemas dan meminta saya membuat laporan polis kerana ia satu penipuan.

"Kejadian itu membuatkan saya serik dan berharap menjadi pengajaran kepada orang lain supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran (murah) tidak masuk akal berkenaan," katanya.

Bagi Rizal, 42, dia menjadi mangsa apabila gambar dan alamatnya pada butiran pengeposan digunakan sindiket terbabit sebagai testimoni meraih kepercayaan pelanggan.

"Saya dapat tahu perkara ini apabila dua individu WhatsApp berminat membeli barangan kemas pada Februari dan bulan lalu.

"Akibatnya, saya terpaksa menerangkan perkara sebenar kepada mereka yang saya tidak menjual barangan kemas itu dan hanya berniaga alat permainan kanak-kanak saja.

"Walaupun tidak mengalami kerugian apa-apa, namun saya tetap membuat laporan polis kerana bimbang mangsa yang tertipu akan mencari dan meminta ganti rugi dengan saya nanti," katanya.

Sementara itu, pengusaha kedai emas di Keramat, di sini, hanya mahu dikenali sebagai Nik, 50, berkata gambar testimoni dan jenama produknya turut digunakan sindiket terbabit.

"Saya dapat tahu penyalahgunaan (testimoni dan produknya) ini dua minggu lalu apabila kakitangan saya mengesan kewujudan akaun baharu mendakwa mereka wakil dari syarikat kami.

"Ada mangsa yang tertipu datang ke kedai kami menuntut ganti rugi, namun kami nasihatkan mereka laporkan kepada polis kerana ia bukan kami.

"Bagi mengelak kejadian berulang, kami mengalakkan pelanggan berurusan dan membuat pembelian lebih selamat di laman sesawang rasmi atau datang ke kedai fizikal dan tidak membuat transaksi ke akaun individu," katanya.

Zainuddin Yaacob.
Zainuddin Yaacob.

Rekod 37 kes babit kerugian RM239k

Polis merekodkan sebanyak 37 kes penipuan berkaitan barang kemas membabitkan kerugian RM239,530 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, berdasarkan kajian, penipuan membabitkan barang kemas mencatatkan antara kes penipuan tertinggi di negara ini.

"Pada 2019, sebanyak 21 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM148,444 dan jumlah kes meningkat kepada 44 kes pada tahun lalu dengan kerugian mencecah sebanyak RM261,954.

"Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 37 kes direkodkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM239,530," katanya.

Zainuddin berkata, peningkatan jumlah kes yang direkodkan dalam kes berkenaan perlu ditangani dengan serius.

"Perkembangan teknologi dan komunikasi mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian kerana akses mudah dan tanpa had khususnya ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Ia sekali gus menjadikan platform e-dagang menjadi pilihan pengguna. Namun, perkembangan ini juga turut mewujudkan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya sudah melaksanakan langkah yang perlu untuk memastikan usaha pembanterasan dilakukan dengan efektif serta berkesan.

"Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan. Justeru, orang ramai digesa supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam urusan jual beli barang kemas secara dalam talian," katanya.

Katanya, orang ramai juga diminta membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau sebaliknya sebelum membuat sebarang pembayaran.

"Orang ramai boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika ada sebarang keraguan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 1:00 PM