Idris Musa


KARTUN tidak akan lenyap selagi ada manusia malah mereka yang menceburi bidang itu boleh ‘membuat duit’ asalkan bijak mencari peluang dan tahu untuk mengembangkannya.

Kartunis Aza berkata, dia menceburi bidang itu sepenuh masa dari dulu sentiasa memanfaatkan peluang dan mengembangkan daya kreatifnya.

“Saya sepenuh masa dengan kartun, cuma saya kembang kepada benda lain seperti baju-T, kalendar dan koleh.

“Kartun bergantung kepada individu iaitu kita sendiri. Kalau kita ada bakat, kita cari peluang, sebab saya fikir antara kartun dan manusia itu berkait rapat.

“Sangkaan saya dulu apabila habis idea, habislah pendapatan saya, tetapi sebenarnya tidak. Selagi ada manusia maknanya ada kartun, sebab kita buat apa yang manusia buat. Kita hanya ubah dalam bentuk humor,” katanya.

Aza atau nama sebenarnya Azhar Sofhi, 53, ditemui selepas menerima Anugerah Tokoh Kartunis Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Penganugerahan itu diadakan bersama pelancaran buku biografi Fatah: Kartunis Akar Terengganu dan Dandindon sempena Bulan Kartunis Malaysia yang disambut pada April setiap tahun.

Ia disempurnakan ikon kartunis Malaysia, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat dan Dekan Fakulti Senireka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Mulyady Mahmud.

Hadir sama tokoh wartawan yang juga blogger terkenal, Datuk A Kadir Jasin, pengamal media dan penggiat seni tanah air antaranya Imuda.

Sementara itu, Pengasas RKKM Mohd Desa Omar berkata, antara kriteria membolehkan Aza menerima anugerah berkenaan adalah karya beliau digunakan untuk mempromosikan tempat menarik di Malaysia.

Katanya, selain itu Aza mencipta maskot bagi sukan pihak berkuasa tempatan, terpilih sebagai Ikon Kartunis Pahang 2019, mewujudkan Galeri Kartun di Jerantut dan menganjurkan Hari Kartunis Pahang.

“Anugerah ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada kartunis yang cemerlang dalam kerjaya sebagai kartunis dan sumbangan mereka kepada dunia kartun tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:39 PM