Mohd Desa  (kanan) bersama  Tazidi  (kiri) melihat pameran  komik di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, semalam.
Mohd Desa (kanan) bersama Tazidi (kiri) melihat pameran komik di Rumah Kartun dan Komik Malaysia, semalam.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Wajah dilakar kartunis popular negara. Itu antara tarikan pengunjung Sambutan Hari Kartunis 2017 serta perasmian Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) di Taman Botani, Tasik Perdana hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar berkata, lebih 500 kartunis, pereka watak dan pelukis animasi mengesahkan kehadiran ke perhimpunan karyawan dan komik terbesar Malaysia itu.

“Antara kartunis yang disahkan hadir ialah Datuk Lat, Zainal Buang Hussein, Mishar, Kerengge, Tazidi, Gayour, Lambok dan Bawong.

“Malah, kita berpeluang menemui pelukis komik lama seperti Sailawati, Sulaiman Awang, Abdullah Ibrahim, Roshem, Mohaz serta beberapa pengumpul dan peminat kartun dari seluruh negara,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, pameran RKKM bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dianjurkan sebagai tapak pameran 500 karya hasil tangan lebih 50 kartunis tempatan.

“Peminat kartun dan komik boleh beramah mesra dan menemui kartunis yang melakar sejarah dalam negara seperti pelopor Gila-Gila, Batu Api, GeliHati, Ujang, Apo, Gempak dan pelbagai lagi.

“Malah, ada antara penghasilan karya komik tempatan pertama berusia lebih 80 tahun iaitu majalah komik Warta Jenaka hasil seni M Nor Awang yang dipasarkan pada 2 November 1936 dengan dialog bertulisan jawi turut dipamerkan di RKKM,” katanya.

Mohd Desa atau nama penanya Juragan berkata, semua karya dipamerkan adalah asli daripada beberapa kartunis terkenal negara dan pihaknya melalui pelbagai kepayahan demi mengumpul karya asli berkenaan.

“Kami ambil masa enam bulan mengumpul karya komik dan kartun asli. Cabaran paling getir apabila membaik pulih karya berkenaan yang rosak tulisannya.

“Malah, pada waktu petang pula kita mengadakan Sembang Kartun dan Komik Metro Ahad bersama Datuk Lat, Jaafar Taib, Dinie, Mazlan Noor dan Gayour yang dikendalikan Pengarang Rencana Metro Ahad Adam Salleh sebagai moderator bagi penutup tirai sambutan berkenaan,” katanya.

Katanya, orang ramai juga boleh mendapatkan cenderahati dan majalah kartun di RKKM termasuk Gila-Gila yang memasuki bilangan 793 terbitan.

“Marilah kita meraikan kartunis negara yang banyak berjuang menerusi kartun dalam menyampaikan nasihat dan kritikan sosial kepada masyarakat pembaca,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 8:48 AM