Kartun Lagak A Mahmud, antara karya klasik Gila-Gila yang dipamerkan di RKKM.
Kartun Lagak A Mahmud, antara karya klasik Gila-Gila yang dipamerkan di RKKM.
Tuan Asri Tuan Hussein

Ketika bersekolah rendah, saya amat meminati komik Ayoko karya (Allahyarham) Zoy. Siri komik itu yang disiarkan setiap hari di akhbar Utusan Malaysia, saya potong dan lekatkan semula di dalam buku tulis sekolah supaya ia menjadi seperti buku cerita.

Pada tempoh sekitar itu juga, kalau tak silap saya sejak usia sembilan tahun lagi, saya sudah jatuh cinta dengan majalah humor Gila-Gila yang mula diterbitkan pada 1978.

Ayop Anak Tulakang oleh Nan, Pendekar Mato Tiga (Don), Lagak A Mahmud (Fatah) dan Periwira Mat Gila (Rejabhad), antara kandungan Gila-Gila yang memukau saya dan terus kekal di memori hingga kini.

Selain kartun, Gila-Gila yang boleh dianggap kilang kartunis Malaysia turut menyiarkan karya penulis hebat. Antaranya Datuk Ishak Muhamad atau Pak Sako, Tan Sri A Samad Ismail, Adialhadi, Mishar dan Profesor Mulyadi Mahmud.

Ketika itu, saya tak ada duit untuk membeli Gila-Gila tapi akan membacanya setiap bulan di rumah Abang Aziz, lelaki bujang yang tinggal di kawasan kejiranan kami atau di rumah pak cik Salleh kerana anak sulungnya, Johari turut minat dengan majalah itu dan membelinya pada setiap keluaran.

Pada 1993, ketika mula bekerja di The New Straits Times Press (NSTP) yang menerbitkan akhbar ini saya terus mencari Zoy yang pada masa itu berkhidmat di unit grafik Berita Harian.

Bangga sungguh saya apabila dapat berkenalan dan bekerja di syarikat yang sama dengan pelukis yang saya minati itu. Disebabkan ‘satu kepala’ kami tidak mengambil masa yang lama untuk berkawan, biarpun dia lebih senior dari segi usia dan tempoh perkhidmatan.

Apabila ditukarkan ke unit rencana Harian Metro sebelum ditempatkan pula di Metro Ahad, saya memanfaatkan kesempatan yang ada untuk menemu bual dan menulis kisah kartunis serta pelukis bertaraf legenda negara ini. Antaranya, Datuk Lat, Rejabhad, Zainal Buang Hussein, Jaafar Taib dan Azman Yusof.

Kartunis Juragan yang berkarya setiap hari di Harian Metro melalui komik Dialog Kota Raya dan Salesman sejak awal penerbitan akhbar ini 26 tahun lalu, juga menjadi sahabat saya apabila saya ditugaskan mengelola ruangan komiknya itu.

Dengan bantuan rakan yang juga ilustrator Unit Pendidikan Berita Harian, Yon rangkaian kenalan kartunis saya semakin meluas. Saya mula mengenali kartunis Nud, Aloy dan Hakim yang ketika itu bernaung di bawah Creative Enterprise yang menerbitkan Gila-Gila.

Malah, pada 1997 saya turut mencabar diri untuk menulis karya humor dan alhamdulillah, Adialhadi yang ketika itu menjadi editor Gila-Gila menerima karya saya berjudul Jiman untuk diterbitkan di majalah berkenaan sebanyak lapan siri.

Saya amat mengagumi gaya penulisan Adialhadi dan ketika menyerahkan karya untuk dinilainya, saya berterus terang memberitahu bahawa saya banyak menirunya dalam menghasilkan Jiman.

“Biasalah tu. Semua orang meniru, malah meniru sebahagian proses pembelajaran dan kehidupan. Kau tak perlu malu,” kata Adialhadi, sekali gus melegakan saya.

Satu kejayaan besar dan ibarat impian menjadi kenyataan kepada saya apabila tulisan saya tersiar dalam Gila-Gila.

Semua kisah silam sejak lebih 30 tahun lalu itu saya imbas kembali dalam penulisan kali ini semata-mata untuk menjelaskan mengapa saya berasa turut berhak berasa seronok dan bangga pada hari ini.

Ya, hari ini 1 April 2017 membawa pengertian amat besar kepada semua kartunis, pelukis komik dan juga peminat medium itu di seluruh tanah air.

Bermula hari ini, tarikh 1 April diisytiharkan Hari Kartunis Malaysia setiap tahun. Dan pada hari ini juga Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) akan mula dibuka kepada orang ramai.

Terletak di Taman Botani Tasik Perdana, Kuala Lumpur, RKKM bakal menjadi galeri, arkib dan juga muzium untuk menyimpan, memelihara dan mempamerkan khazanah kartun dan komik tanah air sejak 1930-an hingga kini.

Menurut Juragan yang juga pengasas RKKM ada puluhan ribu karya yang berjaya dikumpul pihaknya, namun buat permulaan hanya 500 yang akan dipamerkan dengan tajuk Sejarah dan Perkembangan Kartun dan Komik Malaysia.

Hari ini, lebih 80 kartunis berkumpul di RKKM bagi meraikan pembukaannya serta pengisytiharan Hari Kartunis Malaysia. Kepada peminat kartun dan komik, anda dijemput hadir untuk memberi sokongan, selain berpeluang menemui kartunis yang anda minati.

Tahniah dan syabas kepada semua sahabat kartunis saya dan al-Fatihah saya sedekahkan kepada Allahyarham Zoy, Rejabhad, Pak Sako, Tan Sri Samad dan lain-lain yang lebih awal dijemput Ilahi.

Izinkan saya turut menumpang bangga dengan kelahiran RKKM serta pengisytiharan Hari Kartunis Malaysia. Landasan karya wartawan dan kartunis mungkin berbeza, namun di sudut tertentu kami sealiran dan ada persamaan untuk membolehkan kami bergerak sehaluan, seiring dan sejalan.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 9:09 AM