KHAW menunjukkan beberapa kotak minuman keras dirampas Pasukan Gerakan Am Sarawak. FOTO/ L Manimaran
KHAW menunjukkan beberapa kotak minuman keras dirampas Pasukan Gerakan Am Sarawak. FOTO/ L Manimaran
Garret Dawum


CUBAAN sindiket menyeludup minuman keras yang dianggarkan bernilai RM516,000 tidak kesampaian apabila dua lori yang membawa barangan itu ditahan di KM90 Jalan Kuching-Sri Aman, hari ini.

Dua lori yang penuh dengan 2,300 kotak arak jenama Heineken itu ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuching menerusi Op Libas pada jam 1.30 pagi.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya terpaksa mengekori dua lori terbabit sejauh kira-kira 320 kilometer selepas bertindak atas maklumat risikan dan intipan.

“PGA bersama SPRM mengekori dua lori itu dari Jalan Lanang, Sibu sehingga Sungai Menyan, Serian.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit yang berhenti di hadapan sekolah membawa kepada rampasan minuman keras yang disyaki akan diseludup untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Khaw, dua lori itu masing-masing membawa 1,150 kotak Heineken yang dipercayai akan diseludup dan tidak mempunyai cukai.

“Empat lelaki tempatan terdiri daripada dua pemandu dan dua kelindan turut ditahan dalam serbuan itu.

“Semua suspek berusia antara 22 hingga 33 tahun ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Individu yang disabit kesalahan akan berdepan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 2:54 PM