GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Alzahrin Alias


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam fasa terakhir melaksanakan subsidi petrol secara bersasar sebelum dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Kewangan sudah memuktamadkan satu vendor untuk mengendalikan sistem yang akan digunakan kelak.

Beliau berkata, KPDNHEP bersama vendor yang dilantik itu kini sedang dalam proses menentukan mekanisme untuk subsidi petrol bersasar itu kelak.

“Kita akan tentukan spesifikasi dan cara penggunaan yang sesuai, selain mengemas kini senarai pengguna yang layak. Kita juga membabitkan 17 agensi berkaitan dalam perkara ini.

“Kementerian saya bersama MOF akan tentukan harga yang perlu untuk subsidi petrol secara bersasar itu, sama ada harganya lebih murah dari harga petrol semasa atau sama tetapi hanya untuk pengguna yang layak saja.

“Rancangan utama kerajaan dalam perlaksanaan subsidi bersasar ini adalah ia akan memberikan penjimatan kepada kerajaan dan jika ia dapat dilaksanakan dengan cekap, lebih banyak barangan lain boleh menggunakan mekanisme yang sama,” katanya selepas Perbincangan Kenaikan Kos sara Hidup anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di Kuala Lumpur, hari ini.

Saifuddin berkata, antara barangan lain yang sedang dalam perancangan KPDNHEP untuk mengguna pakai kaedah ini adalah minyak masak dan tepung.

Minyak masak, katanya adalah barangan yang perlukan subsidi bersasar kerana minyak masak paket sepatutnya dijual untuk golongan berpendapatan rendah, namun sebaliknya golongan peniaga yang banyak menggunakannya.

“Malah jika dapat dilaksanakan dengan cekap dan memberikan penjimatan kepada kerajaan, tidak mustahil ia boleh digunakan untuk golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 5:52 PM