GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Suhael Adnan


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mungkin menggunakan kad khas sebagai mekanisme dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kad petrol RON95 itu akan diberikan kepada golongan golongan berpendapatan terendah (B40), jika ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan berhubung mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar akan mengutamakan kaedah pelaksanaan yang mudah dan lancar.

“Had penggunaan yang dibenarkan dan jenis sistem untuk membaca kad itu juga sedang diteliti kerana kita ingin memastikan kaedah pelaksanaan berjalan secara licin dan lancar.

“Dasar baik kalau pelaksanaan kucar-kacir dan tumbang, hasilnya tak bagus. Kalau memberi subsidi ketika harga minyak naik pula akan membebankan kewangan kerajaan, jadi semua perkara ini harus diteliti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Saifuddin dilaporkan berkata, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan dalam peringkat perbincangan mengenai mekanisme baharu subsidi petrol bersasar bersama pihak berkepentingan.

Sementara itu, Saifuddin memberi jaminan meletakkan isu subsidi petrol sebagai tugas pertamanya ketika ini sebagai usaha untuk meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.

Ditanya sama ada mekanisme subsidi petrol bersasar itu akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2019 pada 2 November depan, Saifuddin berkata beliau ada memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Doakan supaya rundingan selesai cepat dan saya sempat cadangkan segera kepada Menteri Kewangan untuk masukkan dalam Bajet 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 3:12 PM