FUZI (tengah) bersama Chaktip (dua dari kiri) ketika sidang media di Stadium Azman Hashim, UTM Skudai. FOTO Hairul Anuar Rahim
FUZI (tengah) bersama Chaktip (dua dari kiri) ketika sidang media di Stadium Azman Hashim, UTM Skudai. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) akur dengan apa sahaja keputusan kerajaan berhubung cadangan pembinaan tembok sempadan antara Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, perbincangan berhubung pembinaan tembok sempadan itu adalah isu yang sentiasa dibincangkan dan berterusan.

“Tembok antara Malaysia dan Thailand ini sentiasa dirundingkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan bersama Malaysia-Thailand.

“Kita akan akur dan buat cadangan cara mana yang terbaik untuk menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia yang kita bincangkan berterusan dengan kerjasama erat.

“Ini bergantung kepada kerajaan kedua-dua negara. Bagi pihak PDRM dan RTP, kami tiada masalah, daripada perbincangan kita tiada masalah, cuma kena rujuk pihak berkuasa dua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sempena Pertandingan Ragbi Piala Rujirawongse ke-33 yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Thailand, Komisioner General Chaktip Chaijinda; Timbalan Ketua Polis Thailand, Senior Inspektor General Suchart Theerasawat, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyelaras spesifikasi teknikal cadangan pembangunan pagar sempadan antara Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, MKN akan melihat berdasarkan keperluan strategik negara dan implikasi kewangan yang terbabit dalam pembangunan pagar berkenaan.

Katanya, pembinaan tembok sempadan atas garisan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand dipersetujui bersama kedua-dua negara dalam Mesyuarat ke-25 ‘Land Boundary Committee’ yang dipengerusikan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia pada 31 Julai hingga 2 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 8:35 PM