MOHAMAD Fuzi (tengah) merasmikan pejabat baru Sekretariat ASEANAPOL bersama Mohd Jammy (kiri) dan Hoong di Menara Bank Rakyat, Brickfields, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
MOHAMAD Fuzi (tengah) merasmikan pejabat baru Sekretariat ASEANAPOL bersama Mohd Jammy (kiri) dan Hoong di Menara Bank Rakyat, Brickfields, hari ini. FOTO Rohanis Shukri
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kes penyeludupan kereta mewah antara Malaysia dan Thailand menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus pada tahun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil kerjasama pasukan polis kedua-dua negara, bilangan kes penyeludupan kereta mewah berjaya diturunkan pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

"Kerjasama ini adalah hasil hubungan erat yang terjalin dengan penubuhan Sekretariat ASEANAPOL yang turut memberi fokus kepada jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah dan senjata api.

"Dalam perkembangan terkini minggu lalu, Polis Diraja Thailand (RTP) berjaya merampas 20 buah kereta mewah bernilai RM3 juta di negara berkenaan yang diseludup dari Malaysia," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian pejabat baru Sekretariat ASEANAPOL dan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANAPOL di Menara Berkembar Bank Rakyat di Brickfields, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Ketua Polis Diraja Brunei Datuk Paduka Seri Mohd Jammy Muhd Shah Al Islam dan Ketua Polis Singapura Hoong Wee Teck.

Hasil kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RTP, sebuah sindiket curi kereta dari Malaysia yang menjadikan Thailand sebagai pusat transit bagi kenderaan curi sebelum menyeludupnya ke Kemboja, Vietnam dan Loas berjaya ditumpaskan.

Mohamad Fuzi berkata, sejak 2015, RTP merampas lebih 100 kenderaan yang diseludup dari negara ini dan menyerahkannya semula kepada PDRM.

Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, PDRM dan RTP juga menjalin kerjasama dalam semua bidang siasatan jenayah.

Katanya, dalam aspek yang sama, PDRM turut mempunyai hubungan rapat dengan Polis Indonesia dan Filipina dalam menangani unsur militan khususnya Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 1:08 PM