MOHD Amar.
MOHD Amar.
myMetro

Kota Bharu: “Jangan sampai pagar dibina jadi seperti Tembok Berlin di Jerman,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan pembinaan pagar tembok di sepanjang Sungai Golok bersempadan Thailand bagi mengekang masalah penyeludupan.

Menurutnya, kerajaan negeri tiada bantahan mengenai cadangan itu namun mahu ia dilaksana sebaik mungkin dan tidak mengganggu hubungan kekeluargaan serta perdagangan antara penduduk di kawasan bersempadan.

“Kerajaan Pusat perlu berunding dengan kerajaan negeri mengenai pembinaan itu kerana faktor sosial penduduk perlu diambil kira.

“Kami ada membincangkan perkara ini ketika Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke negeri ini, Jun lalu dan kita (kerajaan negeri) beri sokongan penuh,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Darul Naim, di sini, semalam.

Mohd Amar berkata, pihaknya juga setuju dengan cadangan Kerajaan Pusat yang mahu kawasan sempadan dikosongkan demi keselamatan negara.

Katanya, ia memudahkan lagi pasukan keselamatan menjalankan operasi membanteras jenayah rentas sempadan.

“Soal tanah yang menjadi milik individu menjadi isu lain, tetapi sebahagian besar kawasan sempadan adalah rizab sungai di bawah kerajaan negeri.

“Rizab sungai bermula enam meter dari gigi sungai dan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan perkara itu (serahkan untuk tujuan keselamatan),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 5:18 AM