RAKAMAN video tular menunjukkan seorang wanita warga emas jatuh tersungkur selepas beg tangannya diragut penjenayah menaiki motosikal di Taman Berjaya, Sungai Chua, Kajang, hari ini.
RAKAMAN video tular menunjukkan seorang wanita warga emas jatuh tersungkur selepas beg tangannya diragut penjenayah menaiki motosikal di Taman Berjaya, Sungai Chua, Kajang, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG wanita warga emas jatuh tersungkur sejurus beg tangannya diragut penjenayah bermotosikal di Taman Berjaya, Sungai Chua, Kajang, Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 63 tahun jam 2.25 petang tadi.

“Berdasarkan laporan itu, mangsa memaklumkan diragut ketika berjalan di lokasi terbabit jam 12.30 tengah hari tadi.

“Suspek dikatakan bertindak menarik beg mangsa dari arah belakang dan melarikan dokumen peribadi pengadu serta wang tunai berjumlah RM400,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, akibat kejadian itu, mangsa terjatuh dan mendapat luka di bahagian jari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Shairazi Afiq Shamsuddin di talian 016-3674748 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Kejadian itu berjaya dirakam `dash cam’ sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian sebelum video berdurasi 30 saat berkenaan tular di media sosial, hari ini.

Dalam video itu menunjukkan mangsa sedang bercakap menggunakan telefon pintar sebelum dihampiri motosikal ditunggang suspek yang terus menarik beg tangan mangsa.

Wanita itu kemudian dilihat jatuh tersungkur di atas jalan dan dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 8:52 PM