ANTARA kecederaan dialami peniaga kosmetik warga Thailand akibat diragut di tepi jalan di Cheras Traders, Kajang, semalam. FOTO ihsan Pembaca
ANTARA kecederaan dialami peniaga kosmetik warga Thailand akibat diragut di tepi jalan di Cheras Traders, Kajang, semalam. FOTO ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Peniaga kosmetik dalam talian warga Thailand cedera akibat diseret selepas beg silangnya diragut di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Cheras Traders, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 29 tahun memaklumkan diragut di lokasi berkenaan pada 7.30 malam.

Menurutnya, mangsa mendakwa sedang berjalan sebelum dihampiri seorang lelaki menaiki motosikal yang bertindak meragut beg silangnya.

"Wanita itu memaklumkan beg silangnya mengandungi sejumlah wang tunai, dokumen peribadi dan juga dua telefon bimbit.

"Kejadian itu juga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan akibat terseret," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurfaezatul Akma Rofiee di talian 017-5443931.

"Orang ramai terutama wanita yang membawa beg tangan dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berjalan dan mengelak berjalan secara bersendirian di kawasan yang sunyi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:34 PM