FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU e-hailing ditemui maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di premis di Taman Berjaya, Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.50 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai datang ke premis itu untuk berjumpa dengan seorang daripada pekerja di premis terbabit.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham menyebabkan pergaduhan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, di Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, susulan itu, pihaknya menahan enam individu berusia antara 23 hingga 64 tahun, semalam, untuk membantu siasatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Siti Sarah Aisyah Saad di talian 016 4064202 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 10:47 AM