Keadaan salah sebuah motosikal yang rosak teruk selepas bertembung yang mengakibatkan seorang warga Indonesia maut. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan salah sebuah motosikal yang rosak teruk selepas bertembung yang mengakibatkan seorang warga Indonesia maut. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG lelaki warga Indonesia maut, manakala seorang remaja lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka bertembung kerana mahu mengelak seekor anjing di Jalan Sungai Lalang, Kajang kira-kira jam 7 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun itu yang dalam perjalanan Hulu Langat menuju ke Kajang masuk ke laluan bertentangan kerana mahu mengelak seekor anjing.

“Mangsa berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku pertembungan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah di kepala," katanya.

Dzaffir berkata, remaja lelaki itu dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

“Remaja lelaki berkenaan dilaporkan dalam keadaan kritikal berikutan kemalangan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:16 PM