Mohd Husni Mohd Noor


MAHKAMAH khas rasuah bakal ditubuhkan bagi mengendalikan kes rasuah dengan lebih cepat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau berkata, penubuhan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan mahkamah sedia ada.

“Ini cadangan baharu kerana kita perlu menentukan kes-kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus yang tertumpu, semata-mata kepada kes rasuah.

“Ia memerlukan undang-undang kerana ia akan mengubah ciri-ciri asas mahkamah, jadi perlu ada kesungguhan untuk melawan rasuah.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini dan akan diwujudkan secepat yang mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, penubuhan itu juga berikutan perbicaraan kes rasuah dianggap perbicaraan biasa tanpa diberi sebarang keutamaan.

“(Sedangkan) Ini perkara serius kerana rakyat bertanya mana hukuman terhadap jenayah yang dilakukan individu tertentu.

TUN Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman dengan jemaah menteri sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), hari ini. FOTO Bernama.
TUN Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman dengan jemaah menteri sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), hari ini. FOTO Bernama.

“Jadi kita mahu mahkamah yang boleh mengadakan perbicaraan secepat yang mungkin,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, proses bagi pelantikan hakim mahkamah itu akan menjalani proses sama iaitu dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dan kuasa untuk pendakwaan oleh Peguam Negara.

Dalam pada itu, ditanya sama ada aktiviti rasuah bagi melindungi pusat urut berlaku di seluruh negara susulan penahanan beberapa individu termasuk penjawat awam di ibu negara semalam, Dr Mahathir berkata, kerajaan menyedari perkara seumpama itu boleh berlaku.

“Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat untuk tindakan lanjut diambil, siasatan perlu bagi mengesahkan dakwaan,” katanya.

Hari ini, 14 individu termasuk tujuh penjawat awam direman antara empat dan lima hari bagi membantu siasatan berhubung pembabitan dalam melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di Kuala Lumpur.

Tujuh penjawat awam yang terdiri daripada tiga polis termasuk seorang Ketua Balai Polis, tiga anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan seorang pegawai bomba direman empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:08 PM