DR Mahathir mempengerusikan JKKMAR KE-9 di Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Mahathir mempengerusikan JKKMAR KE-9 di Putrajaya, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Mohd Husni Mohd Noor


FUNGSI tugas dan tanggungjawab Setiausaha Politik kepada menteri akan diperinci secara lebih jelas oleh Kabinet, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), hari ini.

Beliau berkata, pada awalnya tugas Setiausaha Politik diwujudkan untuk menolong menteri khususnya menghubungkan rakyat di kawasan namun, perkara itu tidak berlaku.

“Ada kes berlaku, terdapat setiausaha politik yang terbabit dalam agihan kontrak.

“Ini bukan tugas setiausaha politik, jadi kita hendak kembalikan tugas mereka sebagai perantara menteri dan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR ke-9 dan Melancarkan Aplikasi Telefon Pintar Respons Rakyat 2.0 di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, JKKMAR bersetuju untuk mewujudkan format, gerak kerja atau prosedur bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam menjalankan peranannya dalam urusan pelantikan calon ke jawatan penting kerajaan.

“Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa untuk sesuatu jawatan dapat dikemukakan.

“Sepertimana pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada yang telah termaktub di dalam akta.

“Selepas ini, terdapat empat jawatan penting yang tersenarai akan menggunakan prosedur lantikan ini iaitu Pengerusi dan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya; Ketua Pesuruhjaya SPRM; Suruhanjaya Kehakiman dan anggota SUHAKAM,” katanya.

Beliau memberitahu persetujuan dicapai untuk beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, antaranya pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.

“Selain itu mesyuarat dimaklumkan bahawa satu Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi dan JKKMAR bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa mencukupi harus diberikan kepada proses gubalan undang-undang ini dengan memfokus kepada sesi libat urus mencukupi dengan masyarakat,” katanya.

Bagi syor Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, mesyuarat sepakat ia perlu mengukuhkan amalan tadbir urus korporat dalam pasaran modal untuk mencegah salah laku rasuah dan penipuan, yang mana akan dibincangkan Jawatankuasa Pengurusan Hutang Negara.

Katanya, JKKMAR juga dibentangkan cadangan skop Akta Perolehan Kerajaan yang akan digubal oleh Kementerian Kewangan dan Rang Undang-Undang (RUU) pindaannya dijangka dibawa ke Parlimen pada pertengahan 2020.

“Ada juga dimaklumkan bahawa hasil Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah Kebangsaan, terdapat keperluan untuk mempertingkatkan program kesedaran dan latihan antirasuah kepada penjawat awam.

“Ini termasuk mewujudkan semula Modul Pengurusan Integriti (MPI) dan pemerkasaan Unit Integriti di agensi awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:12 PM