Tun Mahathir Mohamad maklumkan ahli Parlimen pembangkang juga perlu isytihar harta. Foto Luqman Hakim Zubir
Tun Mahathir Mohamad maklumkan ahli Parlimen pembangkang juga perlu isytihar harta. Foto Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor


Mesyuarat kali ke-8 Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) hari ini memutuskan supaya pengisytiharan harta juga akan diperluaskan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berpendapat bahawa ahli Parlimen pembangkang juga mempunyai kuasa khususnya dalam mengkritik kerajaan.

Justeru, katanya, mereka (ahli Parlimen pembangkang) juga perlu melakukan pengisytiharan harta sebagaimana yang dilakukan barisan menteri dan timbalan menteri Kabinet.

“Ahli Parlimen pembangkang juga ada kuasa iaitu mengkritik kerajaan. Sebagai balasan, mereka juga perlu isytihar harta.

“Bagaimanapun, cadangan ini perlu di bawa kepada Speaker Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR 3/2019 di sini, hari ini.

Pengisytiharan harta itu adalah sebahagian daripada lima cadangan JKKMAR untuk dimasukkan dalam Penunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap menteri.

Dr Mahathir berkata, empat KPI lain adalah mewujudkan dan melaksanakan dasar penerimaan hadiah; melaksanakan pelan antirasuah peringkat organisasi masing-masing; mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan antirasuah diperingkat kementerian serta meningkatkan ketelusan perolehan awam dan pengurangan risiko.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, Laporan Laporan Corporate Governance Watch (CGW) meletakkan kedudukan Malaysia pada tempat yang lebih baik tahun iaitu dari kedudukan ketujuh pada 2016 kepada tempat keempat pada tahun lalu.

“Pada mesyuarat kali ini, kerajaan dimaklumkan satu berita baik, dimana kedudukan laporan CGW menunjukkan peningkatan dan ia hasil iltizam dan kesungguhan kerajaan terhadap usaha pencegahan rasuah yang menyeluruh terutama dalam aspek governans, tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang.

“lni adalah satu pencapaian yang amat bermakna selaras dengan matlamat kerajaan yang diterjemahkan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP),” katanya.

Katanya, bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dalam laporan CGW ini, kerajaan bercadang untuk menubuhkan satu pasukan bertindak yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dengan dianggotai oleh agensi-agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 4:09 PM