Antara peserta yang menyertai Festival Layang-layang Kabong di Pantai Kabong. FOTO Khalid Latip
Antara peserta yang menyertai Festival Layang-layang Kabong di Pantai Kabong. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


KEJAYAAN penganjuran sulung Festival Layang-Layang Kabong pada tahun lalu berjaya menarik perhatian beberapa negara untuk sekali lagi berkampung di Pantai Tanjung Kembang di Kabong bagi menjayakan edisi kedua temasya berkenaan yang bermula hari ini.

Jurucakap penganjur, Kamaludin Alkap berkata, festival kali ini yang berjaya menarik peserta dari 30 negara itu berlangsung selama empat hari sehingga Isnin ini.

Menurutnya, pesta itu dijangka menarik lebih ramai pengunjung berikutan pengisian program yang lebih menarik selain tarikan beraneka jenis layang-layang unik yang bakal diterbangkan oleh peserta.

“Pada masa yang sama, kita juga menyusun pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung antaranya pesta ria, pertandingan tarik tali, pentas kebudayaan, pameran dan pertandingan nyanyian.

“Pada sebelah malamnya pula, pengunjung turut berpeluang menyaksikan keunikan layang-layang yang dihiasi dengan lampu berwarna-warni,” katanya.

Kamaludin berkata, penganjur gembira edisi kali ini berjaya menarik kehadiran lebih ramai peserta berbanding hanya dari 10 buah negara pada tahun lalu.

Menurutnya, kehadiran lebih ramai peserta dari banyak negara itu membuktikan potensi besar Pantai Tanjung Kembang sebagai lokasi penganjuran acara itu pada masa akan datang.

“Walaupun jauh dari pusat bandar, kita mampu mengadakan acara berprestij ini. Kejayaan ini adalah hasil komitmen dan kerjasama padu semua pihak.

“Apa yang lebih penting pesta ini menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga kecil selain berjaya melakar nama Kabong di atas peta dunia,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 2:52 PM