MUHAMMAD Jailani (empat dari kiri) bersama Presiden Persatuan Layang-layang negeri, Datuk Wong Soo Tang (dua dari kanan) melepaskan belon berbentuk naga.
MUHAMMAD Jailani (empat dari kiri) bersama Presiden Persatuan Layang-layang negeri, Datuk Wong Soo Tang (dua dari kanan) melepaskan belon berbentuk naga.
Noor Azurin Mohd Sharif

Melaka: Layang-layang dinamakan ‘Revolusi’ menjadi tarikan utama pengunjung pada hari terakhir Festival Layang-Layang dan Wau Antarabangsa Melaka di Dataran Klebang di sini, semalam.

Keunikan Revolusi yang dikendalikan kumpulan Eye dari Indonesia itu mencuri tumpuan kerana rekaan uniknya boleh menari di ruang udara mengikut rentak koreografi muzik dimainkan.

Pemainnya, Rigaluh Tanresila, 41, berkata, Revolusi sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri dan pernah mengungguli pertandingan peringkat antarabangsa di Korea Selatan.

“Ia dikendalikan menggunakan empat tali dan digerakkan dengan koreografi muzik secara senada.

“Jika muziknya berhenti, Revolusi juga boleh berhenti menari.

“Kita akan terus membawa Revolusi dalam festival sebegini untuk menunjukkan keunikan layang-layang,” katanya ketika ditemui, di sini.

Festival selama dua hari sejak kelmarin itu turut menampilkan lebih 200 layang-layang dan wau pelbagai jenis, bentuk serta saiz yang diterbangkan peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari China, Singapura, Mongolia dan Perancis.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Muhammad Jailani Khamis berkata, kerajaan negeri akan menambah baik penganjuran festival itu pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang mewujudkan beberapa kategori pada festival akan datang seperti kategori layang-layang tercantik, wau tercantik dan paling unik.

“Usaha yang dibuat ini diharap mampu menarik lebih ramai peserta dalam dan luar negara.

“Malah ia juga diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke Melaka sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:28 AM