Mohd Rizal Abdullah


AKTA Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bakal digantikan dengan undang-undang baru yang lebih komprehensif, tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ia bertujuan mengembalikan kebebasan akademik dan mengembalikan kuasa sepenuhnya kepada pelajar.

“Pemansuhan akta ini membabitkan proses panjang kerana membabitkan soal perundangan.

“Namun, Insya-Allah, akta ini akan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih komprehensif pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (JPRKUM) sempena pilihan raya kampus UM di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim dan Pengerusi JPRKUM Vanessa Eunice Scully.

Maszlee berkata, bukan sekadar AUKU, tetapi kerajaan berhasrat mewujudkan semula kesatuan pelajar.

Beliau berkata, UM mempunyai sejarah kesatuan pelajar tersendiri.

“Bagi pelajar dahulu, kesatuan pelajar begitu gemilang dan mereka mampu menjana pendapatan sendiri,” katanya,.

UM hari ini mencatat sejarah apabila mengendalikan pilihan raya kampus pertama sepenuhnya oleh pelajar.

Kejayaan ini selaras dengan keputusan kementerian menerusi Mesyuarat Pilihan Raya Kampus yang mahukan pelajar diberikan mandat sepenuhnya, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 10:03 PM
DR Mazslee (kanan) bersama Abdul Rahim (tengah) melihat mahasiswa kurang upaya ketika hari mengundi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2019/2020 di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aziah Azmee.
DR Mazslee (kanan) bersama Abdul Rahim (tengah) melihat mahasiswa kurang upaya ketika hari mengundi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2019/2020 di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Aziah Azmee.