MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berucap. FOTO Nadim Bokhari
MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berucap. FOTO Nadim Bokhari
BERNAMA

Melaka: Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan akan terus memperbaiki dari segi kedudukan 'output' melibatkan pengurusan organisasi mahasiswa yang tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 pada masa akan datang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata komitmen itu adalah untuk memastikan mahasiswa dapat bergerak dengan lebih baik dalam aktiviti yang disertai di setiap universiti di Malaysia.

"Lebih utama rang undang-undang yang diluluskan hari ini akan dapat membentuk daya kepimpinan mahasiswa di setiap universiti.

"Pembentukan kepimpinan inilah antara matlamat kita di bawah Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Pendidikan Tinggi bersama keluarga Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pindaan terhadap AUKU 1971 yang diluluskan oleh Dewan Negara hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTeM Profesor Dr Massila Kamalrudin serta hampir 2,000 orang termasuk penuntut, pengurusan dan ahli akademi universiti berkenaan.

Pindaan itu antaranya membabitkan Seksyen 16B dan Seksyen 15A iaitu pengendalian kes tatatertib di universiti serta tindakan memungut dan menerima wang sumbangan oleh Majlis Perwakilan Pelajar.

Terdahulu, Zambry menyerahkan sembilan bas baharu UTeM yang diperoleh melalui konsep sewa pandu bagi menggantikan penggunaan kenderaan sedia ada yang berusia lebih 20 tahun serta sumbangan zakat dan duit raya kepada 12 pelajar tahfiz dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional serta 88 pelajar daripada keluarga B40.

Pada majlis itu, surat tawaran biasiswa kepada penuntut UTeM menerusi Program SULUNG berjumlah RM1,217,852 turut diserah kepada 133 pelajar sarjana muda dan Program Anak Emas dengan nilai RM99,700 untuk empat penuntut sarjana muda dan dua penuntut diploma.

UTeM turut menaja Biasiswa Kesidang berjumlah RM500,000 yang memberi manfaat kepada 163 penerima dalam kalangan penuntut ijazah tinggi dan 82 penerima pascasiswazah.

Sumbangan zakat sebanyak RM 1,767,325 juga diserahkan kepada 70 penuntut sarjana muda dan 30 pelajar diploma selain sembilan komputer riba kepada penuntut terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 11:09 PM