Nadia Hamid dan Manirajan Ramasamy


TUN Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) untuk membolehkan cawangan parti politik ditubuhkan di semua universiti awam (UA).

Perdana Menteri berkata ketika ini pun pelajar tidak disekat daripada berbicara mengenai isu politik tanah air.

“Anda bebas bercakap apa yang anda suka. Tidak payahlah parti,” kata beliau.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Anugerah Felo dan Anugerah 24 Saintis Terbaik 2018, anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM), di Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika menggulung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat berkata, pindaan AUKU membolehkan cawangan parti politik ditubuhkan dalam universiti awam.

Katanya, perkara itu sejajar langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan dicadangkan dalam tempoh terdekat.

“Sebelum ini memang ada kumpulan Aspirasi dan Wawasan dalam Pilihan Raya Kampus, namun itu hanya pada nama.

“Perubahan pada AUKU yang membolehkan mahasiswa menubuhkan Kelab Barisan Nasional (BN) di UA, Kelab Pakatan Harapan (PH) di UA, Kelab PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan pelbagai lagi seperti di negara maju.

“Di negara maju memang ada parti politik cawangan kampus dan ini selaras dengan penurunan umur mengundi yang yang akan kita cadangkan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 6:14 PM