MUSTAPHA. FOTO Asyraf Hamzah
MUSTAPHA. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Petaling Jaya: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengalu-alukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mana-mana universiti yang masih tidak berpuas hati atau kurang jelas tampil berbincang dan mendengar penjelasan berhubung pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya memberi ruang seluasnya kepada mahasiswa tampil berbincang berikutan pihaknya sentiasa terbuka dan mendengar keluhan pelajar serta akan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini, kita sudah dapatkan pandangan pemimpin pelajar selepas libat urus dengan MPP di kebanyakan universiti malah di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tetapi memang kita tidak dapat puaskan hati semua orang.

"Sebenarnya ada beberapa perkara kadang-kadang tidak difahami pelajar, jadi saya harap supaya MPP yang tidak berpuas hati berjumpa dengan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing buatlah sesi libat urus.

"KPT sangat terbuka sebab apa-apa peruntukan tambahan pindaan ini mungkin kita boleh memperincikan di peringkat IPT untuk pindaan seterusnya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran CelcomDigi Metaversity di Menara CelcomDigi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuntutan MPP beberapa universiti yang mahu KPT memberikan penjelasan mengenai pindaan Auku 1971 terutama membabitkan autonomi pengurusan kewangan dan tempoh lantikan MPP.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata, ada beberapa perkara dalam Auku 1971 yang perlu difahami semua pihak termasuk hanya tujuh klausa saja membabitkan pelajar.

"Ada yang datang ke Parlimen, ada yang kata hapuskan Auku 1971, sebab kadang-kadang kita tidak tahu bahawa akta ini bukan hanya untuk pelajar saja tetapi termasuk bagaimana hendak uruskan universiti.

"Hanya ada tujuh seksyen saja membabitkan pelajar, jadi macam mana kita hendak hapuskan sebab ini juga membabitkan pengurusan universiti.

"Ada beberapa sedikit perubahan contohnya, sebelum ini tidak dibenarkan membuka akaun jadi pelajar ada pengalaman untuk uruskan sendiri akaun mereka serta dari segi tatatertib, pelajar sudah ada ahli jawatankuasa sendiri bukan hanya Naib Canselor.

"Jadi ini mungkin ini antara beberapa perkara kadang-kadang tidak difahami dan masih menjadi tanda tanya pelajar apabila tiada libat urus dengan pengurusan universiti," katanya.

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Auku 1971 yang diluluskan di Dewan Rakyat Isnin lalu membabitkan beberapa perubahan antaranya penambahbaikan Seksyen 15A Auku yang memberikan kebenaran kepada MPP dan badan pelajar memungut wang.

Selain itu, pindaan ke atas Seksyen 48(4) Jadual Pertama Auku, memberi kuasa pihak pentadbiran universiti memendekkan dan memanjangkan tempoh lantikan MPP.

Namun, media kelmarin melaporkan beberapa pimpinan mahasiswa seluruh negara menyuarakan tidak jelas dalam beberapa pindaan itu yang dakwa mereka boleh memberikan implikasi salah guna kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 3:49 PM