Kostum Hello Kitty yang dipakai Fakrul Irfan dan Nur Syahidah ketika menghiburkan pengunjung di Kedai Adil's Roti di Kampung Losong, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Kostum Hello Kitty yang dipakai Fakrul Irfan dan Nur Syahidah ketika menghiburkan pengunjung di Kedai Adil's Roti di Kampung Losong, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

“RASA panas tetapi seronok apabila melihat kanak-kanak dan orang sekeliling gembira,” kata Fakrul Irfan Mazuni, 18, individu di sebalik kostum Hello Kitty yang menghiburkan pelanggan di Kedai Adil’s Roti, Kampung Losong, Kuala Terengganu.

Fakrul berkata, dia baru pertama kali mengambil upah memakai kostum kartun berkenaan tetapi teruja kerana dapat menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak.

“Saya memakai kostum Hello Kitty dan mendapat perhatian ramai terutama kanak-kanak perempuan yang ingin bergambar.

“Namun awalnya saya ingatkan ia kerja mudah, sebenarnya bukan mudah kerana panas dan perlu pandai mencuit hati orang ramai,” katanya yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, selain menahan panas selama lebih sejam sepanjang menyarung kostum itu, cabaran juga datang daripada orang sekeliling.

“Bukan senang nak hiburkan orang sekeliling, perasaan malu perlu diketepikan. Kalau diikutkan saya seorang yang pemalu tetapi ia hilang apabila melihat senyuman di wajah orang ramai,” katanya yang berasal dari Kampung Gong Nasek, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Nur Syahidah Zahari, 16, dari Kampung Pasir Panjang berkata, dia mengambil upah memakai kostum itu sejak tahun lalu dan sudah lali dengan pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi.

“Biasanya mula-mula kanak-kanak takut tetapi selepas mereka selesa ada pula yang berkelakuan nakal mengusik kami.

“Saya pernah mengalami pengalaman memalukan apabila kepala kostum tertanggal kerana ditolak kanak-kanak tapi saya tak marah kerana menganggap ia lumrah dan cabaran pekerjaan ini,” katanya.

Menurutnya, dia mampu memperoleh pendapatan sampingan lebih RM600 sebulan dengan memakai kostum itu.

“Biarlah apa orang nak cakap atau cabaran yang perlu dihadapi, paling penting ia berbaloi dan memberikan hasil yang memuaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 9:19 PM