KANAK-KANAK menjalani sesi pemulihan trauma. - Reuters
KANAK-KANAK menjalani sesi pemulihan trauma. - Reuters
AFP

PALU: Penderitaan kanak-kanak yang terselamat akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah di sini, sedikit terubat apabila dihiburkan sukarelawan yang memakai kostum watak daripada program kartun Winnie the Pooh.

Selain memakai kostum, sukarelawan menyanyikan lagu dan menyediakan permainan bagi menghiburkan kanak-kanak yang terjejas akibat bencana alam itu.

Gempa bumi dan tsunami berlaku pada 28 September lalu menyebabkan 2,002 orang terkorban, selain ribuan orang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Tragedi itu menyebabkan sekurang-kurangnya 180,000 kanak-kanak masih trauma.

Sukarelawan, Erna tampil dengan menawarkan hiburan untuk mengurangkan penderitaan yang terpaksa dilalui kanak-kanak terbabit.

Dia dan rakannya bertindak nekad memandu kereta selama tiga jam menuju ke Palu dengan membawa kostum Winnie the Pooh serta watak lain demi tujuan murni itu.

“Saya sangat kasihankan kanak-kanak ini dan tidak mahu mereka terus trauma,” katanya kepada AFP.

Pekerja bantuan di tempat kejadian berkata, ramai kanak-kanak masih terkejut dan tertekan akibat bencana dahsyat itu.

Di sekitar Palu, pelbagai usaha dilakukan untuk menggembirakan kanak-kanak, termasuk sukarelawan membawa permainan, menganjurkan perlawanan sukan atau mengadakan sesi bercerita.

Organisasi Save the Children bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan tempatan untuk memastikan tempat selamat bagi kanak-kanak bermain sementara ibu bapa mereka mencari bekalan diperlukan.

David Bloomed dari organisasi itu berkata, bermain amat penting untuk kesihatan psikologi kanak-kanak.

“Bermain membolehkan kanak-kanak merasakan mampu kembali normal walaupun perubahan drastik berlaku di sekitar mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 6:44 AM