Nur Lela Zulkipli

PENGENDALI laman web, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas dua pertuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden serangan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, 16 Februari lalu.

Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, yang memakai kemeja-T biru tua dan bersongkok hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

“Tidak bersalah,” katanya ringkas ketika diminta pengakuan daripada mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Papagomo yang juga Exco Pemuda UMNO, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa dengan bermaksud hendak mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut ‘ko bodoh’ 11.05 pagi di tepi Jalan Persiaran Impian Perdana.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, di tempat dan waktu sama, OKS didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq di bahagian leher dan bahu.

Jika sabit kesalahan, Papagomo boleh dipenjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah kerana kes berkenaan membabitkan keselamatan Syed Saddiq.

PAPAGOMO (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengaibkan Syed Saddiq. FOTO Rosela Ismail
PAPAGOMO (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengaibkan Syed Saddiq. FOTO Rosela Ismail

Peguam Nik Saiful Adli Buhari yang mewakili Papagomo, bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan dan perlu menyara lima orang anak masih kecil selain isteri yang tidak bekerja.

Selain itu, Nik Saiful Adli turut memohon mahkamah menukar syarat tambahan daripada menyerahkan pasport antarabangsa kepada melaporkan diri di balai polis berhampiran.

“Mangsa dalam kes ini adalah menteri yang mempunyai pengawal peribadi. Jadi, tidak perlu khuatir mengenai keselamatannya,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 bagi seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 1 April depan.

Turut kelihatan menemani Papagomo pada prosiding yang bermula kira-kita 10.30 pagi itu adalah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, Syed Saddiq, 27, yang juga Ahli Parlimen Muar mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Susulan kejadian itu, polis menahan Papagomo di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur pada 17 Februari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Sementara pada 21 Februari lalu, iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya OKS menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham.

Berita berkaitan:

  • "Kertas siasatan kes Papagomo dan Syed Saddiq ke DPP
  • "Papagomo dibebaskan
  • "Reman Papagomo tiga hari
  • "Papagomo antara 2 individu dipanggil' - Syed Saddiq
  • "Saya tak tahu kenapa leher dicekak' - Syed Saddiq
  • Syed Saddiq dakwa 'diserang' penyokong BN [METROTV]
  • Dua laporan polis diterima
  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 12:09 PM