Muhamaad Razis Ismail


SEKUMPULAN lelaki sanggup menyembunyikan air ketum yang dicampur dengan ubat batuk dalam semak di belakang rumah di Kampung Pek, Machang bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun tempat persembunyian itu tetap berjaya dikesan polis selepas serbuan dilakukan di kawasan berkenaan, 9.15 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, hasil serbuan pihaknya menemui 45 bungkus air ketum, 430 bungkus daun ketum dan 285 botol ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM6,757.50.

Katanya, pihaknya menahan empat suspek berusia 18 hingga 54 tahun yang ketika serbuan sedang leka membungkus air ketum dipercayai untuk edaran daerah itu dan Kuala Krai.

“Kita menyerbu lokasi selepas menerima maklumat awam dan suspek mengaku bekalan daun ketum diperoleh dari Kedah, manakala ubat batuk dari Kuala Lumpur.

“Mereka dipercayai aktif dengan aktiviti terbabit sejak sebulan lalu, malah, belakang rumah seorang daripada suspek berusia 48 tahun dijadikan markas untuk memproses air ketum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, hari ini.

Mohd Shamsuri berkata, barang larangan itu kemudian dijual pada harga antara RM10 hingga RM15 sebungkus.

Susulan itu, katanya, semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 3:14 PM
Mohd Shamsuri (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan air dan daun ketum serta dan ubat batuk yang dirampas. FOTO Fathil Asri.
Mohd Shamsuri (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan air dan daun ketum serta dan ubat batuk yang dirampas. FOTO Fathil Asri.