Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kegiatan dua lelaki menjual air ketum terbongkar berikutan penemuan dua tong polistrin mengandungi 112 bungkus air ketum dalam serbuan di sebuah taman permainan di Bagan Ajam, di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan pada 12.40 tengah malam oleh sepasukan anggota yang menjalankan rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggotanya menghampiri dua lelaki terbabit kerana dilihat mencurigakan sebelum menemui dua tong polistrin mengandungi air ketum.

"Soal siasat mendapati mereka mengaku menjual air ketum itu di sekitar kawasan Pantai Bersih dengan harga RM7 sebungkus.

"Mereka mendapatkan bekalan air ketum itu daripada rakan di Penaga, Kepala Batas dan menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan bersama air ketum untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun selepas didapati mencurigakan di sebuah hotel, dekat sini, pada 3.30 pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan menemui satu plastik lutsinar mengandungi ganja, syabu selain dua bungkus air ketum pada lelaki berkenaan.

Katanya, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 1:49 PM