Air ketum yang dirampas. FOTO hiasan
Air ketum yang dirampas. FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SEKUMPULAN lelaki yang menjadikan bengkel kenderaan sebagai pusat pemprosesan daun ketum terbongkar selepas serbuan dilakukan di premis berkenaan di Kampung Changkat Gombak, di Gombak, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Gombak membuat serbuan di premis itu jam 12.10 tengah malam tadi.

“Hasil pemantauan selama 10 minit di lokasi, terdapat enam lelaki dilihat duduk di luar bengkel itu sebelum anggota bertugas menghampiri mereka untuk melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan di bawah meja hadapan suspek menemui sebuah beg mengandungi lima bungkus cecair dipercayai air ketum,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Arifai berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pemilik bengkel keluar dari premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bengkel itu menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi daun disyaki ketum seberat tujuh kilogram, 55 bungkusan cecair dipercayai air ketum dan peralatan digunakan untuk memproses air ketum.

“Dalam serbuan itu juga, kami merampas dua tong gas, dua dapur, dua periuk, dua tong ais, alat penimbang, penapis air dan senduk kayu.

“Tujuh suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 36 tahun itu dibawa ke Balai Polis Gombak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 8:46 PM