AIR dan daun ketum serta ubat batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
AIR dan daun ketum serta ubat batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang : Serbuan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) terhadap sebuah rumah di Kampung Gual Tok Deh awal pagi tadi berjaya menemukan 83 bungkus air ketum, daun, dan ubat batuk yang disorok di atas siling kediaman itu.

Dalam masa yang sama tiga sahabat yang sedang nyenyak tidur dalam rumah itu gagal melarikan diri kerana kediaman itu sudah dikepung anggota bertugas.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, bertindak atas maklumat, anggota bertugas membuat serbuan di rumah terbabit pada 3 pagi sebelum menemui tiga lelaki berusia 21, 22 dan 34 tahun yang sedang tidur di kediaman berkenaan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, semua suspek terkejut manakala salah seorang daripada mereka yang juga pemilik rumah cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana kediaman itu sudah dikepung.

"Hasil pemeriksaan, anggota menemui 83 bungkus air ketum dan tujuh botol ubat batuk di dalam peti ais manakala, satu kilogram (kg) daun ketum ditemui di atas siling rumah terbabit.

"Kesemua barang rampasan dan ketiga-tiga suspek yang juga penganggur ini dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Selain itu, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Azhari berkata, kesemua suspek itu dipercayai menjual barangan terlarang terbabit untuk pasaran tempatan dengan harga RM15 untuk sebotol ubat batuk serta RM10 bagi sebungkus air ketum manakala daun ketum dijual pada harga RM30 sekilogram.

"Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Masih ramai penduduk tempatan di sini yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah walaupun pihak kami menjalankan banyak serbuan, namun ia tidak mematahkan semangat anggota PGA7 untuk terus berkhidmat membanteras kes terbabit.

"PGA7 terus menjalankan tanggungjawab dalam Ops Benteng Covid-19 bagi menjaga keselamatan sempadan negara selain memastikan jenayah rentas sempadan dibanteras sebaiknya.

"Kerjasama agensi penguat kuasaan lain serta saluran informasi daripada penduduk tempat amat dialu-alukan bagi kita sama-sama menjaga keamanan sempadan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 12:14 PM