BUNGKUSAN air ketum dan ubat batuk dirampas daripada lelaki Myanmar. FOTO Ihsan Polis.
BUNGKUSAN air ketum dan ubat batuk dirampas daripada lelaki Myanmar. FOTO Ihsan Polis.
Shamsul Munir Safini


SEBANYAK 600 bungkus air ketum dan 70 botol ubat batuk bernilai RM4,300 dirampas polis dalam satu serbuan di sebuah pondok di Jalan Bagan Dalam, Kepala Batas, 12.30 tengah hari semalam.

Dalam serbuan itu polis turut menahan seorang lelaki Myanmar berusia 30 tahun dipercayai pemilik kesemua bahan terlarang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya dan maklumat orang ramai.

Katanya, hasil pemeriksaan di pondok berkenaan, polis menemui 10 bekas plastik yang setiap satu mengandungi 60 bungkusan plastik kecil berisi cecair disyaki air ketum.

“Kesemua 600 bungkus air ketum dengan isi padu 150 liter dan satu bekas plastik mengandungi 70 botol ubat batuk dirampas.

“Warganegara asing dipercayai dalang aktiviti tidak sihat itu menjual air ketum dan ubat batuk kepada penagih di sekitar Butterworth,” katanya.

Noorzainy berkata, warganegara asing itu dipercayai memperoleh bekalan daripada beberapa

suspek lain yang kini sedang diburu.

“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:30 PM