Ishak (kanan) mendengar taklimat mengenai produk madu di Rumah Madu FAMA, Pokok Sena. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Ishak (kanan) mendengar taklimat mengenai produk madu di Rumah Madu FAMA, Pokok Sena. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


PRODUK madu tualang dari daerah Padang Terap akan diangkat sebagai produk antarabangsa menerusi promosi dan pemasaran yang dilakukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail berkata, keputusan itu dibuat dengan kerjasama kerajaan Kedah selepas kajian menunjukkan madu berkenaan terbukti mempunyai kualiti terbaik berbanding madu tualang dari seluruh negara.

Bagaimanapun katanya, produk madu itu akan melalui proses penapisan panel FAMA di peringkat kebangsaan Mei ini bersama beberapa produk lain yang mewakili setiap negeri seluruh negara.

“Setiap negeri akan hantar sekurang-kurangnya dua produk untuk dihantar kepada panel terbabit dan kita akan pilih satu tetapi di Kedah setakat ini kita percaya produk madu tualang adalah yang terbaik dan layak diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Usahawan madu tualang ini akan dibawa memperkenalkan madu mereka di luar negara sekali gus kita juga akan memperkenalkan Padang Terap di mata dunia,” katanya selepas lawatan ke Rumah Madu FAMA di Pokok Sena hari ini.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, FAMA akan menjadikan madu sebagai industri hiliran di Padang Terap bagi membantu lebih ramai penoreh getah di daerah itu menambah pendapatan.

Katanya, daerah yang mempunyai hutan tebal itu sangat sesuai dengan habitat lebah dan kelulut dan ia juga mampu menjadi produk agro pelancongan.

“Seperti di Temerloh, kita sudah berjaya menjadikan masakan tempoyak ikan patin sebagai produk juara di Pahang, sejak 20 tahun lalu usaha mengatasi lambakan durian dan ikan air tawar berjaya diatasi dengan cara itu.

“Begitu juga dengan madu tualang, sejak 2006 FAMA membuat kajian dan ia sememangnya setanding dengan produk madu dari Timur Tengah, contohnya madu dari Iran, mereka mampu eksport sehingga ke Eropah.

“Itulah yang kita mahu lakukan, kita perkasakan industri madu dengan melahirkan lebih ramai usahawan, apa saja produk madu dari Padang Terap, kita nak seluruh dunia kenal malah pelancong juga boleh datang dan lihat sendiri cara pembekal memanjat dan mengambil madu dari pokok tualang yang sangat tinggi pada waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 9:31 PM