ZAINAL  (tengah) melawat gerai jualan Empayar Makanan pada HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall.
ZAINAL (tengah) melawat gerai jualan Empayar Makanan pada HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall.
Izlaily Nurul Ain Hussein


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menawarkan 345 menu makanan dan minuman dari seluruh negara di kluster Empayar Makanan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall di sini.

Semua menu yang disediakan 37 usahawan di bawah bimbingan FAMA itu menampilkan 28 gerai makanan dan minuman selain sembilan foodtruck meliputi cita rasa masakan setiap negeri dengan pelbagai masakan kampung yang amat menyelerakan, malah menjadi resipi turun-temurun yang diwarisi sejak bergenerasi.

Ketua Pengarah FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, FAMA dipilih mengendalikan kluster yang paling utama dan diberi nama Empayar Makanan membabitkan usahawan seluruh negara bagi menonjolkan pelbagai menu etnik dan warisan dari setiap negeri di Malaysia.

“Semua gerai makanan dan minuman yang dipamerkan merangkumi produk popular dari Perlis hingga Sabah dan usahawan yang dipilih berdasarkan populariti makanan di sesebuah negeri.

“Tujuan kita membawa usahawan ini supaya pengunjung dapat menikmati produk makanan dan minuman yang didatangkan khas dari seluruh negara. Antaranya Mi Bandung Johor, Laksa Sarawak, Ikan Bakar Semporna dan pelbagai lagi,” katanya.

Usahawan yang dipilih adalah yang biasa menyertai program anjuran FAMA manakala kira-kira 40 peratus adalah usahawan baharu.

Empayar Makanan turut menempatkan meja makan yang boleh menampung 900 hingga 1,000 pengunjung pada satu masa sehingga Ahad ini.

FAMA juga mengetengahkan konsep Zero Waste Cooking bagi memberi idea kepada usahawan dan pengunjung untuk menghasilkan produk tambahan atau produk nilai tambah daripada bahan mentah yang digunakan dan secara tidak langsung, konsep ini dapat mengurangkan pembaziran dalam penggunaan bahan mentah keluaran pertanian.

FAMA turut dipertanggungjawabkan mengendalikan Laman Jualan Segar yang menampilkan 45 lot jualan membabitkan 42 usahawan merangkumi jualan buah-buahan, sayur-sayuran, anak pokok, input pertanian, orkid, bunga serta ikan dan ternakan.

Zainal Abidin berkata, program konsep Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang mana peserta dari ladang kontrak dipilih untuk memasarkan hasil secara terus kepada pengguna.

“Kita menjanjikan harga antara lima hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran dan berharap Laman Jualan Segar boleh memberikan satu motivasi kepada golongan muda untuk melihat potensi perniagaan dalam pertanian.

“Kami jangkakan sasaran nilai jualan HPPNK untuk Empayar Makanan dan Laman Jualan Segar kali ini sebanyak RM1 juta dengan kira-kira 500 hingga 1,000 usahawan baharu mendaftar untuk mendapatkan bimbingan FAMA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 9:31 AM