ISMAIL (kiri) dan Badruddin melancarkan Program MyBest Buy.
ISMAIL (kiri) dan Badruddin melancarkan Program MyBest Buy.
NORIZAN Hassan menjual apam balik.
NORIZAN Hassan menjual apam balik.
HARGA murah ditawarkan dalam Program MyBest Buy.
HARGA murah ditawarkan dalam Program MyBest Buy.
MOHD Faizal Mohd Salleh  menjual nangka madu.
MOHD Faizal Mohd Salleh menjual nangka madu.
Oleh Mohamad Hussin


Projek Strategi Lautan Biru Kebangsaan 10 (NBOS 10) ‘MyBest Buy’ dilaksanakan bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup.

Matlamat utama program ini bagi mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui penawaran produk hasil pertanian dengan harga berpatutan dan kompetitif.

Penduduk di kawasan bandar lebih merasai impak kenaikan kos sara hidup apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk makanan serta pelbagai sara hidup lain.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, program itu dikendalikan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan dianggotai semua kementerian lain.

Beliau berkata, FAMA dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menjadi penyelaras program MyBest Buy di seluruh negara.

“Melalui program MyBest Buy, pengguna di kawasan bandar ditawarkan dengan produk berkualiti dengan harga berpatutan.

“Ia juga satu gerakan bersepadu yang turut menerapkan konsep ‘Year End Sale (YES) dan Jimat Belanja Dapur (JBD) serta pelbagai program yang boleh membantu penduduk bandar selain mempromosikan produk pertanian negara.

“FAMA dan NEKMAT terbabit secara langsung dalam aktiviti pemasaran produk hasil pertanian dan hasil laut,” katanya pada Majlis Pelancaran Program MyBest Buy di Ibu Pejabat FAMA di Selayang, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Hadir sama, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ahmad berkata, program ini dijalankan melalui pelbagai mekanisma antaranya produk jualan membabitkan barangan basah seperti sayur, buah dan ikan serta produk kering seperti barangan runcit dan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Harga jualan yang berpatutan dengan potongan antara lima hingga hingga 20 peratus bagi barangan segar dan basah seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan.

“Lokasi jualan MyBest Buy membabitkan pejabat kerajaan, hospital, perumahan awam, universiti, kawasan industri serta tempat lain yang sesuai.

“Pembabitan usahawan karavan tani FAMA, lori sejuk beku dan jualan terus dari ladang diutamakan,” katanya.

Menurutnya, program Mybest Buy dilaksanakan di 68 lokasi di seluruh negara antaranya Kedah (lapan lokasi), Perak (dua lokasi), Negeri Sembilan (empat lokasi) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya sebanyak 21 lokasi.

“Johor (sembilan lokasi), Pahang (11 lokasi) manakala Terengganu, Melaka dan Sarawak masing-masing tiga lokasi. Kelantan, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah masing-masing satu lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, terdapat 68 lokasi secara tetap dan ‘one off’ dilaksanakan program My Best Buy membabitkan 688 operasi.

“Pembabitan 53 usahawan karavan tani baru dengan nilai jualan RM6.36 Juta. Pada tahun ini, FAMA merancang program MyBest Buy dilaksanakan di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 11:17 AM