HABIBI menunjukkan gambar seorang daripada suspek yang dikehendaki. FOTO Edmund Samunting
HABIBI menunjukkan gambar seorang daripada suspek yang dikehendaki. FOTO Edmund Samunting
Junaidi Ladjana


POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan membabitkan kes bunuh, rogol dan seks luar tabii.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dua suspek ialah warga tempatan manakala seorang bermastautin tetap berusia antara 38 hingga 57 tahun.

“Mereka yang diburu iaitu Sisal Benigno, 41, kerana terbabit kes bunuh di daerah ini pada Februari 2018 yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

“Suspek kedua, Dainis Sitim, 38, diburu bagi tiga kesalahan iaitu rogol dan seks luar tabii pada Julai 2016. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 KK, Seksyen 376(3) KK dan Seksyen 377(C)(A) KK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dataran Pahlawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Superintendan George Abd Rakman.

Habibi berkata, seorang lagi suspek ialah Lajin Pilong, 57, diburu kerana kes seks luar tabii pada Mac 2017 lalu yang disiasat mengikut Seksyen 377(E).

“Mereka disenaraikan orang dikehendaki bagi membantu siasatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian Hotline 088- 221191/ 529211 atau tampil di balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:15 PM