POLIS menahan wanita warga Filipina selepas disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di hotel di Sadong, Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Junaidi Ladjana.  
POLIS menahan wanita warga Filipina selepas disyaki menjalankan kegiatan pelacuran di hotel di Sadong, Kota Kinabalu, malam tadi. FOTO Junaidi Ladjana.  
Junaidi Ladjana


TAKTIK dua wanita warga asing menggunakan aplikasi WeChat untuk menawarkan khidmat seks terbongkar apabila mereka ditahan, malam tadi.

Wanita berusia 26 dan 30 berasal dari Filipina dan Thailand itu ditahan dalam serbuan berasingan di dua hotel di Jalan Damai, Luyang dan Jalan Sadong, Kota Kinabalu.

Serbuan pada 6 petang dan berakhir 10 malam itu dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu diketuai Asisten Superintendan Zahiruddin Zakaria.

Turut ditahan ialah dua wanita 'pengkid' yang juga pemandu dan penumpang kereta salah seorang suspek terbabit yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata ketika serbuan di Damai, pihaknya menahan wanita warga Thailand kerana disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan merampas beberapa peralatan untuk kegiatan tidak bermoral itu.

“Malah, polis turut menahan lelaki yang melanggan suspek ketika serbuan dilakukan.

“Serbuan kedua dijalankan di hotel di Sadong dan kami menahan seorang wanita warga Filipina kerana disyaki turut menjalankan kegiatan pelacuran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, hasil dua serbuan itu, polis merampas beberapa kondom, telefon bimbit serta wang tunai RM870 dan kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan Seksyen 372A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:47 PM