Syabu yang dirampas daripada perunding hartanah. FOTO Ihsan Polis
Syabu yang dirampas daripada perunding hartanah. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


PERUNDING hartanah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di Seremban Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, penahanan lelaki berusia 29 tahun itu membawa kepada penemuan syabu seberat 334.4 gram yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000.

Menurutnya, polis melakukan intipan selepas melihat kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di tempat cuci kereta di sebuah kelab di Sendayan pada jam 10 pagi Jumaat lalu.

“Hasil intipan itu, polis menahan suspek dan menemui dua paket lut sinar berisi syabu seberat 20 gram.

“Soal siasat dilakukan, suspek mengaku menyimpan dadah di rumahnya di Bandar Sri Sendayan.

“Seterusnya dengan dipandu suspek, polis melakukan pemeriksaan di rumah suspek dan menemui dadah jenis sama seberat 314.4 gram,” katanya hari ini.

Mohamad berkata, polis turut menyita pelbagai jenis barang kemas dan kenderaan suspek yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000.

Katanya, suspek direman tujuh hari sehingga 8 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 6:13 PM