BUNGKUSAN dadah yang dirampas dalam kawasan kondominium suspek di Taman Abadi Indah.
BUNGKUSAN dadah yang dirampas dalam kawasan kondominium suspek di Taman Abadi Indah.
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Hidup penuh bergaya selain tinggal di kondominium mewah melalui hasil pendapatan menjual dadah syabu dan heroin.

Itu kegiatan jenayah dilakukan seorang pengedar dadah muda berusia 24 tahun yang berjaya diberkas polis di kediamannya di kondominium di Taman Abadi Indah, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek ditahan sekitar jam 1 pagi kelmarin di kediamannya itu susulan risikan dilakukan pihaknya.

Menurutnya, suspek kemudian membawa polis ke kawasan tempat letak kenderaan di kondominium itu sebelum menunjukkan hampir satu kilogram dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM31,000.

“Menerusi pemeriksaan terhadap tubuh suspek, kami menemui empat peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 3 gram padanya.

“Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah kondominium berhampiran dan pemeriksaan menemui empat peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 435 gram dan 51 peket plastik lutsinar disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 478 gram,” katanya.

Menurut Adnan, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM2,200 daripada suspek yang dipercayai wang hasil jualan dadah.

“Heroin seberat 435 gram itu boleh digunakan oleh 870 penagih manakala syabu (478 gram) pula untuk kegunaan 478 penagih.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 16 Ogos depan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 11:46 AM