Mohd Azis (kanan) menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kecil Skuad AADK kepada wakil  Rumah Pangsa Tanjung Aru. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Azis (kanan) menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kecil Skuad AADK kepada wakil Rumah Pangsa Tanjung Aru. FOTO Malai Rosmah Tuah
BERNAMA

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya kini sedang berusaha menjejaki dan menghapuskan ‘musuh dalam selimut’ yang berada dalam agensi penguat kuasa di bawah kementerian itu.

Beliau berkata, terdapat sebilangan kecil pegawai dalam agensi penguat kuasa menjadi dalang dengan membocorkan maklumat operasi sehingga membantutkan usaha membanteras kegiatan jenayah di negara ini.

“Saya tahu ada dalang dalam kalangan kita yang menjadi musuh dalam selimut membocorkan maklumat apabila kita melakukan operasi tertentu. “Sebab itu kita sukar untuk menangkap kepala penjenayah itu...yang ditangkap hanya ‘ikan bilis’.

“Ini adalah salah satu cabaran yang kita perlu hadapi. Oleh itu kita mahu bersihkan pengkhianat itu untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguat kuasa di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Skuad ‘Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti’ anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Darau, Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Azis berkata, penganjuran program itu sangat bertepatan dalam membantu memerangi dadah di negara ini selain memupuk masyarakat mengenai bahayanya dadah sehingga menjadi musuh nombor satu negara.

“Masalah dadah kini bukan setakat menjadi masalah sosial malah ia kini menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

“Oleh itu komitmen dan pembabitan semua pihak khususnya di semua peringkat lapisan masyarakat diperlukan untuk membanteras dadah.

“Orang ramai perlu melaporkan jika ada kegiatan dadah di kawasan masing-masing.

“Jangan biarkan ia melarat sehingga merosakkan anak-anak kita yang sudah tentu menjadi pemimpin masa hadapan negara,” katanya.

Mohd Azis berkata, dalam usaha memerangi dadah di Sabah pihaknya mengarahkan polis serta penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melakukan tindakan tegas antaranya merobohkan rumah setinggan yang didapati melindungi pengedar dadah.

“Tindakan tegas ini menunjukkan kerajaan serius dalam usaha memerangi dadah... jika kita lakukan operasi khususnya di perumahan setinggan dan mendapati ada dadah disimpan dalam rumah berkenaan maka kita akan robohkan rumah itu.

“Ini isyarat jelas bahawa kita tidak berkompromi soal dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 12:23 PM