Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Fail
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Fail
Mohd Hasbi Sidek


KETUA Polis Negara yang baru dilantik, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, akan memberi fokus empat elemen penting, termasuk isu rasuah dan integriti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkasa agensi itu.

Beliau berkata, fokus pertama ialah mengutamakan perkara asas dan pematuhan prosedur ketika menjalankan tugas harian yang dilihat mampu menyelamatkan PDRM daripada sebarang liabiliti.

"Kegagalan mematuhi prosedur asas menyebabkan polis berhadapan dengan masalah kematian tahanan di lokap dan salah guna kuasa.

"Prosedur asas harian dianggap remeh dan merasakan ada perkara lebih penting menyebabkan masalah kecil menjadi besar" katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, fokus kedua ialah isu rasuah dan integiriti yang menjadi penyebab utama wujudnya persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap PDRM.

"Kita akan memerangi rasuah sehingga ke akar umbi, tanpa memilih bulu dan kompromi termasuk memberi tumpuan kepada pegawai muda yang bakal menjadi tunjang masa depan.

“Ketiga ialah judi, jenayah bersindiket dan gangsterimes masih menjadi duri dalam daging pasukan.

“Tindakan segelintir polis yang sanggup menggadai maruah dan menjadi ‘balaci’ kepada sindiket bagaikan musuh dalam selimut.

"Elemen keempat memperkasa polis melalui inovasi dan teknologi berteraskan Intelligence-Led Policing (LED) bagi mengenalpasti sindiket selain masalah dalam PDRM sendiri membabitkan aktiviti salah guna kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 10:26 PM