ANGGOTA AADK Kubang Pasu memakai baju kalis senjata yang akan digunakan ketika operasi dan serbuan untuk melindungi diri dari tercedera ketika menjalankan tugas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA AADK Kubang Pasu memakai baju kalis senjata yang akan digunakan ketika operasi dan serbuan untuk melindungi diri dari tercedera ketika menjalankan tugas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


ANGGOTA penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kubang Pasu menjadi agensi pertama di Kedah dibekalkan dengan baju kalis senjata serta cota (t-baton) hari ini.

Kelengkapan pelindung diri itu disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Aminuddin Omar atas keperihatinannya mengenai aspek keselamatan anggota AADK ketika melakukan operasi membanteras penagihan dadah.

Pengarah AADK Kedah, Mahadzir Elias berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif itu kerana baju kalis senjata itu mampu melindungi anggotanya ketika menjalankan operasi memerangi ancaman dadah habis-habisan di peringkat daerah.

Beliau berkata, sebelum ini anggotanya hanya berpakaian biasa ketika melakukan serbuan dan banyak risiko dihadapi terutama ketika berdepan dengan penagih yang bertindak agresif atau menggunakan senjata.

"Kita berharap dengan penggunaan baju kalis senjata ini dapat memudahkan anggota kami menjalankan tugas dan kita mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau ADUN di daerah lain untuk memberi sumbangan baju kalis senjata di kawasan masing-masing.

"Setakat ini tangkapan penagih dadah di Kubang Pasu semakin meningkat dan terletak hampir dengan negara jiran, Thailand dan lebih banyak operasi tangkapan dadah dilakukan di kawasan ini. Dengan penggunaan baju ini, saya rasa ia amat sesuai sekali," katanya ketika ditemui pada Program Orientasi Bilangan 6/17 di Pejabat AADK Kubang Pasu, di sini hari ini.

Hadir sama, Aminuddin dan Pengerusi Membasmi Penyalahgunaan Dadah Daerah Kubang Pasu, Shuib Din.

Dalam pada itu, Mahadzir berkata, beliau terharu dengan sambutan menggalakkan kalangan penagih dan bekas penagih dadah yang datang ke program julung kali itu secara sendiri untuk mendengar taklimat pihaknya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menumpukan operasi di 13 lokasi panas penagihan dadah di negeri ini iaitu di Kuah (Langkawi), Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena (Kota Setar), Pekan Jitra (Kubang Pasu), Pekan Pendang, Kulim, Sik, Kupang, Kuala Ketil dan Pekan Baling (Baling), Sungai Petani dan Bedong (Kuala Muda).

"Bilangan penagih semakin meningkat disebabkan dadah mudah diperoleh dengan penawaran melalui WeChat dan WhatsApp yang hanya boleh diakses penagih dikenali.

"Penjualan sebegini menyebabkan kita sukar untuk melakukan serbuan namun berdasarkan maklumat dan risikan kita akan cuba menjejakinya," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau sedar bahaya menunggu penguat kuasa AADK ketika menjalankan tugas tanpa sebarang perlindungan seperti baju kalis senjata.

Berikutan itu katanya, beliau memberi lapan baju kalis senjata itu berserta t-baton kepada anggota penguat kuasa AADK sebagai perlindungan daripada sebarang ancaman ketika menjalankan tugas.

"Kita akan menambah lagi bilangan baju itu sekiranya diperlukan memandangkan anggota penguat kuasa di daerah ini kerap melakukan serbuan sehingga hampir di kawasan sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 3:29 PM