AHMAD Zahid
AHMAD Zahid
Hayati Ibrahim


Putrajaya: “Saya amat khuatir mungkin mereka (musuh/penculik) memperoleh maklumat mengenai kaedah operasi yang dilaksanakan pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tidak menuduh mana-mana pihak membocorkan maklumat itu, tetapi memaklumkan perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan kerap berlaku kes penculikan di kawasan itu kebelakangan ini.

“Kita lihat musuh sentiasa mencari ruang, waktu dan kelemahan operasi. Saya tidak menuduh, tetapi saya sangat khuatir ada maklumat yang diperoleh mereka mengenai kaedah operasi yang dilakukan ESSCOM.

“Mereka juga mungkin mengetahui aset kegunaan ESSCOM dan pelbagai agensi penguatkuasaan belum diperoleh sepenuhnya,” katanya ketika pada majlis Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian culik dan rompak yang berlaku di Sabah, membabitkan sekumpulan penjenayah yang lengkap bersenjata api di perairan Semporna dan Lahad Datu, malam kelmarin.

Ahmad Zahid berkata, selain agensi penguat kuasa, rakyat setempat di kawasan ESSCOM juga perlu memainkan peranan untuk membendung kejadian culik atau jenayah di kawasan berkenaan.

“Saya sudah maklum banyak kali, ada kumpulan penculik untuk mendapatkan tebusan yang bergiat aktif dan kita tahu Kumpulan Abu Sayyaf sedang mengumpul dana secara besar-besaran.

“Saya khuatir jika dana berkenaan adalah salah satu saluran dana untuk mereka memperkuatkan saluran pengganas dikenali sebagai Khatibah Nusantara bagi menyatukan pelbagai kumpulan di rantau Asia Tenggara ini.

“Jadi, jangan ambil mudah soal keselamatan dan pertahanan negara, mereka mengambil peluang atas kealpaan yang kita sendiri ciptakan,”katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya yang akan diambil pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku, Ahmad Zahid berkata, pelbagai usaha dan kaedah sedang dilaksanakan bagi tujuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:57 AM